Tuesday, December 15, 2020

Kepentingan Ilmu Pengetahuan Dalam Kehidupan.

 



Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Dihormati Puan Hajah Aminah binti Abdullah, Pengetua SMK Dato’ Menteri, barisan warga pendidik serta rakan-rakan pelajar yang saya sanjungi sekalian. Pada pagi yang permai ini, saya selaku pengerusi Kelab Bimbingan dan Kerjaya amat bersyukur kerana diberikan peluang keemasan untuk  menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid’ sempena Minggu Kerjaya dan Pendidikan peringkat sekolah. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh onak dan duri, kita sering disajikan dengan isu ilmu pengetahuan yang sangat signifikan dalam kehidupan setiap murid. Ironisnya, ilmu pengetahuan hanya dipandang sebelah mata malah diabaikan oleh sesetengah murid yang tidak menyedari kemaslahatan yang akan diperoleh melalui ilmu pengetahuan. Menurut ahli falsafah yang terkemuka, Plato, ilmu pengetahuan adalah makanan bagi jiwa. Dengan ilmu pengetahuan, kita dapat meraih kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat. Oleh hal yang demikian, murid-murid sewajarnya didedahkan dengan kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan agar ilmu pengetahuan dapat dimanfaatkan seoptimumnya. Persoalan yang sering menerjah dan menerawang dalam minda kita ialah apakah kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid? Dengan ini, bingkisan wacana tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid yang mewarnai fokus perbincangan akan saya kupas secara terperinci untuk  kepentingan bersama.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

            Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah ilmu pengetahuan merupakan wahana untuk murid menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa ilmu pengetahuan diibaratkan sebagai jurang yang sememangnya tiada batasan dan sempadan lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini kerana ilmu pengetahuan meliputi semua aspek di dunia termasuklah bidang teknologi, keagamaan, fakta sejarah dan banyak lagi. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang dapat saya ketengahkan ialah terdapat pelbagai bidang ilmu yang kian hari kian berkembaang pesat  ibarat cendawan tumbuh selepas hujan seperti penguasaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).  Dengan perkataan lain, ilmu pengetahuan amat penting kerana mampu melengkapi murid-murid dengan minda yang optimis untuk menguasai pelbagai bidang yang dipelajari. Perkara ini amat penting untuk murid-murid mengorak langkah membina masa hadapan yang cerah. Memetik bait-bait bernas Nelson Mandela, ilmu pengetahuan ibarat senjata terbaik di dunia kerana dengan ilmu pengetahuan, kita dapat mengubah dunia. Dalam konteks ini, sekiranya murid-murid dapat menguasai pelbagai disiplin ilmu, nescaya pada masa hadapan mereka dapat membuat anjakan paradigma dalam bidang sains dan teknologi lebih-lebih lagi dalam aspek perubatan moden. Pada hemat saya, murid-murid wajarlah gigih dan bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu pengetahuan seperti kata mutiara genggam bara api biar sampai jadi arang. Izharlah bahawa ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan murid untuk  membantu murid menguasai pelbagai bidang ilmu dengan baik dan cemerlang.

Para pelajar yang dihormati sekalian,

Seperkara yang tidak kurang penting juga,ilmu pengetahuan mampu untuk menjamin peluang pekerjaan pada masa hadapan. Namun begitu, statistik terhadap kadar pengangguran di negara kita amat membimbingkan dan begitu merisaukan. Hal ini telah menyebabkan persaingan yang begitu sengit antara para graduasi untuk memperoleh pekerjaan demi menyara kehidupan. Oleh hal yang demikian, dengan ilmu yang dimiliki, murid bakal dapat menjadi pesaing yang kompetetif untuk memperoleh peluang pekerjaan. Berbekalkan ilmu pengetahuan di dada, pastinya kita dapat menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Malahan, kita juga dapat membuktikan kelayakkan murid untuk menjawat pekerjaan yang lebih besar serta dapat mencapai cita-cita dan hasrat yang sudah lama diimpikan sejak kecil lagi seperti doktor, jurutera dan peguam persis peribahasa genggam bara api biar sampai jadi arang. Kerjaya profesional ini ternyata bukanlah mudah dan memerlukan ilmu pengetahuan yang begitu tinggi. Sehubungan dengan itu,suka saya ingatkan bahawa kita perlulah bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu pengetahuan untuk menjamin masa hadapan yang cerah bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Deduksinya, ilmu pengetahuan merupakan tiket emas bagi  murid untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang baik demi masa depan yang cemerlang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

          Kupasan dan huraian tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid tidak harus ada titik noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau pula dari aspek yang lain iaitu ilmu pengetahuan dapat mengelakkan kita daripada mudah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjaawab.Bagi membuktikan perkara ini,contoh yang dapat diketengahkan ialah penjualan produk-produk tiruan yang telah meluas di pasaran seperti di pasar raya serta di kaki lima oleh peniaga yang mementingkan diri sendiri ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Perkara yang lebih membimbangkan ialah terdapat segelintir masyarakat yang mudah terpedaya dengan kata-kata manis para peniaga terhadap produk jualannya. Hal ini demikian kerana masyarakat tersebut berfikiran jumud dan cetek ilmunya sehingga menjadikan mereka sebagai sasaran mudah bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan. Hal ini menggambarkan senario sekiranya kita memandang enteng kemaslahatan ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Dalam hal ini, ilmu pengetahuan amat signifikan kerana mampu mengelakkan diri kita daripada dihasut oleh para peniaga dengan tipu daya mereka kerana ilmu pengetahuan membantu murid meluaskan horizon pemikiran untuk bersikap rasional dalam  membuat tindakan selanjutnya. Oleh itu, murid-murid perlulah menyemai kesungguhan dan semangat yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu pengetahuan supaya menjadi lebih inetelektual dan berketerampilan dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Ringkasnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid adalah untuk mengelakkan diri daripada mudah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

            Bergerak pada lensa perbincangan yang seterusnya, ilmu pengetahuan sangat vital dalam kehidupan murid kerana mampu menjadi platform untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai tamsilnya, murid-murid yang berilmu mampu menjadi tonggak kegemilangan agama, bangsa, dan negara di peringkat global sehingga mengaut sanjungan daripada sekalian persona di seantero dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana murid yang dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dapat menabur sejambak bakti kepada agama, bangsa, dan negara dengan mencetuskan gelombang idea baharu seperti karya sastera, teknologi canggih, kaedah perubatan moden dan banyak lagi pembaharuan yang mendatangkan impak positif kepada manusia sejagat pada masa hadapan. Tambahan lagi, murid-murid juga bakal menjadi pemangkin kemajuan bangsa dan negara seperti yang dinukilkan oleh pujangga, pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. Bertitik tolak daripada itu, amatlah penting bagi murid supaya berlapang dada dan memberi tumpuan semaksima mungkin semasa menuntut ilmu pengetahuan. Dengan berbuat sedemikian, kecemerlangan dapat digenggam erat sehingga mampu menjadi wahana untuk murid mengaplikasikan ilmu pengetahuan  untuk membangunkan negara ibarat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh hal yang demikian, murid-murid haruslah bersikap optimistik untuk mempraktikkan ilmu pengetahuan di landasan yang betul agar membuahkan hasil yang manis. Selain itu, murid-murid juga perlu cakna dengan hakikat bahawa menuntut ilmu pengetahuan juga adalah suatu ibadah yang mendatangkan ganjaran yang lumayan di dunia dan di akhirat kelak. Perkara ini dapat dibuktikan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan. Natijahnya, kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid adalah dapat memberikan peluang kepada murid untuk memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

        Jika dilihat dari kaca mata yang berbeza pula, ilmu pengetahuan mampu mengubah taraf hidup murid. Pada realitinya,keadaan ekonomi yang kurang stabil yang menyebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat telah menjadi tamparan  hebat kepada setiap individu. Siapa sahaja yang tidak mahu hidupnya lebih selesa dan bebas daripada belenggu kemiskinan? Oleh hal yang demikian,murid dapat membuka peluang dan ruang untuk memperbaiki taraf hidup dengan ilmu pengetahuan. Contoh yang paling nyata ialah mereka yang mempunyai gaji yang lumayan dan berpendapatan tinggi mampu membina rumah yang indah,membeli kereta yang mewah serta dapat menjalani kehidupan tanpa menanggung masalah kewangan. Malahan,mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan juga dipandang tinggi dan disegani oleh masyarakat sekeliling. Kehidupan yang mereka lalui adalah jauh lebih baik dan sememangnya amat dicemburui. Dalam konteks ini, kita haruslah mempertingkatkan ilmu pengetahuan supaya dapat menghindari daripada kancah kemiskinan dan dilabelkan sebagai golongan melarat. Sejarah tamadun China telah membuktikan bahawa mereka telah berjaya mengubah status dan taraf hidup mereka melalui ilmu pengetahuan telah menyedarkan kita bahawa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Izharlah bahawa ilmu pengetahuan dapat mengubah taraf hidup setiap individu untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.      

            Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah kita rumuskan bahawa ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan setiap individu untuk menjamin masa hadapan yang cerah. Murid wajar memandang serius terhadap kepentingan menuntut ilmu dan menggunakan peluang yang  ada untuk belajar hingga ke menara gading agar dapat melakar kegemilangan pada masa hadapan. Semua pihak haruslah memainkan peranan aula untuk memastikan kerancakkan penyebaran ilmu pengetahuan yang meluas kepada setiap murid. Oleh itu, segala usaha dan alternatif yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah disokong dan didukung demi kepentingan pelbagai pihak khususnya murid sekolah bak kata mutiara dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Sehubungan dengan itu, usaha yang dilaksanakan perlulah besungguh-sungguh dan bukanlah skadar hangat-hangat tahi ayam.Saya berharap agar ceramah pada kali ini dapat membuka mata semua murid terhadap kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid. Sebelum visi dan misi menjadi kabur, sewajarnya anjakan paradigma dan langkah sederap harus dilaksanakan pada setiap detik untuk menjamin modal insan yang cemerlang dan mampu berdiri di mercu kejayaan.

 Sumber : Modul Kertas 1 dan 2 PPMP Pasir Gudang 2020

No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...