Sunday, April 12, 2015

Cerpen Kaduk, Ayam Dan Raja

Kaduk, Ayam dan Raja (Zurinah Hassan)
            Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.  Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.  Hal ini  menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.  Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan  hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
            Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.  Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan penyata hasil  jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA.  Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya  telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.
Tema
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Persoalan
  1. Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
  2. Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
  3. Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
  4. Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.
Plot
Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak Kaduk yang dianggap bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.  Akhirnya Kaduk, isteri dan anaknya hidup menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri.
Perkembangan
  1. Hassan menamakan anaknya Hakim yang bererti  bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif dan jelik seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya.
  2. Hakim seorang yang pandai dan melanjutkan pelajaran  ke universiti.  Hakim semakin sedar akan ketidakadilan dan penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya.  Hakim mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelasaikan kemelut keluarganya itu.  Usaha Hakim berjaya.
  3. Hakim berhasrat mengusahakan projek penternakan ayam di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan belanja yang besar melebihi dua ratus ribu ringgit.  Untuk melialisasikan hasratnya itu, Hakim memohon pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah  pihak bank pula memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain untuk dicagarkan. Mujurlah seorang Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman hakim diluluskan.
  4. Hakim memeterai perjanjian dengan Syarikat RAJA untuk membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun bermula.
  5. Orang kampung merungut bahawa jalan kampung mereka rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan.  Hakim berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki masalah ini tetapi jawapan mereka ialah tiada peruntukan.
Klimaks
Setelah setahun, Hakim bercerita kepada Azam yang baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa kecewa terhadap projek penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan yang besar tetapi hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia berasa dirinya telah dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan dan ubat ayam kepadanya.  Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat mahal.
Peleraian
Hakim menganggap dirinya mengalami nasib yang malang sama seperti datuknya  yang terpaksa akur pada golongan yang berkuasa.
Teknik Plot
Pemerian
Pengarang menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup. Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.
Dialog
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam
Imbas muka
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.”
Imbas kembali
“Kau ingat kan , tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah.”
Kejutan
Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku.Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan.Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.
Watak dan Perwatakan
Hakim
  1. Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk.
  2. Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
  3. Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
  4. Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
  5. Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Azam.
  1. Sahabat baik Hakim semasa di universiti.
  2. Seorang yang suka membantu orang lain.  Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.
  3. Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya.
  4. Seorang yang prihatin. Sebagai contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.
Kaduk.
  1. Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan.
  2. Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.
  3. Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.
Raja
  1. Seorang yang suka bersabung ayam.  Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.
  2. Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.  Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.
Latar
Latar masa
  1. Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.
  2. Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
  3. Dalam masa setahun.  Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan perternakan ayamnya.
      Latar tempat.
  1. Mahkamah. Sebagai contoh kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
  2. Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
  3. Kampung. Sebagai contoh penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka.
  4. Universiti. Sebagai contoh Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti  yang sama.
Latar masyarakat
  1. Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan. Sebagai contoh para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan.
  2. Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.
  3. Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya.
  4. Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Sebagai contoh wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat Kaduk.
 
Nilai
  1. Nilai keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
  2. Nilai keberanian. Sebagai contoh hakim berani menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
  3. Nilai kegigihan.Sebagai contoh Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak.
  4. Nilai keprihatian. Sebagai contoh Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara untuk berkursus.
  5. Nilai tolong-menolong. Sebagai contoh Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar  milik datuk hakim.
Pengajaran
  1. Kita hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh orang lain.  Sebagai contoh Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.
  2. Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
  3. Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.
  4. Kita hendaklah menolong  golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.
  5.  Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah.  Sebagai contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.
Soalan KBAT
1. Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan untuk menarik golongan siswazah terlibat dengan keusahawanan?

2. Apakah kesan siswazah hanya suka makan gaji kepada siswazah dan negara?

3. Apakah kebaikan yang diperolehi oleh siswazah dan negara jika terlibat dalam bidang keusahawanan?

Prosa Klasik : Kepimpinan Melalui Teladan

Prosa Tradisional
(Kepimpinan Melalui Teladan)
Kredit :  http://www.bmspm.my/v1/index.php/my/item/136-prosa-kepimpinan-melalui-teladan
 
SINOPSIS

            Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk  mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.  
            Patih Gajah  membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri  menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.
            Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyemar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.
            Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja,membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari
            Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksmana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka. 

TEMA

Kepahlawanan seorang laksamana mempertahankan negara.

Keberanian dan kegagahanan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat hura hara.

PERSOALAN

  1. Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.
  2. Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana.
  3. Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat.
  4. Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang.
  5. Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk.
 
WATAK DAN PERWATAKAN

  1. Laksamana
    • Seorang yang berani
    • Seorang yang pemurah
    • Seorang yang bijaksana
    • Cinta akan keamanan negara
      • Taat setia kepada pemerintah
      • Pandai dalam ilmu kesaktian
      • Memiliki sifat kepahlawanan

  1. Kertala Sari
    • Anak kepada Petala Bumi
    • Berasal dari Majapahit
    • Seorang pencuri yang handal
    • Seorang yang tamak dan angkuh
    • Seorang pendendam
    • Pandai dalam ilmu kesaktian
    • Suka membuat huru hara
    • Taat kepada pemerintah

  1. Sultan Melaka
    • Seorang yang prihatin
    • Seorang pemimpin yang adil
    • Seorang yang mengenang budi

  1. Patih Gajah Mada
    • Berasal dari Majapahit
    • Seorang pendendam


LATAR

Latar Masyarakat
  1. Masyarakat feudal
      Contoh:  Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja .
  1. Masyarakat yang bertanggungjawab
      Contoh :    Laksamana menawarkan diri untuk menangkap penjurit yang menyebabkan
masalah kecurian di negeri Melaka.
3.   Masyarakat yang mengenang budi
              Contoh :    Saudagar dan orang-orang kaya yang kehilangan hartanya akibat dicuri oleh
Kertala Sari telah memberikan sebahagian harta mereka kepada Laksamana dengan ikhlas serta harta mereka ditemui.
4.Masyarakat yang taat pada pemerintah
              Contoh :  Ketaatan Laksamana terhadap Sultan dan negerinya.

Latar Tempat
  1. Negeri Melaka     
Contoh: Kartala Sari membuat huru hara dengan mencuri harta sudagar dan orang-orang kaya di Melaka
  1. Majapahit 
      Contoh: Patih  Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas kematian penjurit tujuh  bersaudara di Bukit Cina.
  1. Di tengah pasar
      Contoh :  Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana.

Latar Masa
  1. Malam
      Contoh:     Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya pada sebelah malam.
  1. Siang
Contoh: Bendahara melaporkan kepada Sultan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri dan habis segala harta-hartanya.  
 
GAYA BAHASA

  1. Bahasa istana
       Contoh:    sultan, patik, tuanku,
 
  1. Bahasa pinjaman bahasa Jawa
       Contoh:      manira,kula,pakanira
 
  1. Kata ganda
       Contoh: kaya-kaya, sekuasa-kuasa, menampar-nampar,tikam-menikam,radak-meradak

NILAI

  1. Nilai keberanian
       Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari.
 
  1. Nilai tolong-menolong
Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka.
 
  1. Nilai kebijaksanaan
       Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari degan berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam.
 
  1. Nilai pemurah
       Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan
       orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil
       sedikitpun harta itu.

PENGAJARAN

  1. Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin.
 
  1. Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
 
  1. Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia.
 
  1. Kita hendalah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kata sentiasa dirahmati tuhan

Friday, April 10, 2015

MENGAPA PELANCONGAN SANGAT PENTING KEPADA MALAYSIA SEJAK TAHUN 1985 HINGGA KINI?


PENDAHULUAN. 

Sedar atau tidak, masyarakat  dunia telah membuka mata terhadap Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di dunia yang harus dikunjungi. Usaha berterusan sejak tahun 1985 membawa kepada kegemilangan sektor pelancongan Malaysia masa kini. Walaupun isu kapal terbang MAS MH370 yang terhempas pada Mac, 2013 menjejaskan sedikit kehadiran pelancong dari negara China, aktiviti pelancongan terus memberi sinergi kepada kehadiran pelancong dari negara lain. Setiap masa langkah mempromosikan  pelancongan Malaysia diadakan oleh pejabat Pelancongan Malaysia di dalam atau di luar negara. Tidak cukup dengan penubuhan Pejabat Pelancongan kekal, promosi juga diadakan dalam seminar dan pameran-pameran pelancongan yang dianjurkan diseluruh dunia. Tema penarik pelancongan juga dipelbagaikan seperti 'Visit Malaysia 2007', "Cuti-Cuti Malaysia 2012",  "Tahun Melawat Malaysia 2014" dan "Tahun Festival (MyFest) 2015". Pembatalan penggunaan visa kepada pelancong China turut dimeterai.  Hal ini disebabkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai berbagai produk pelancongan yang unik untuk diketengahkan. Oleh itu, tidak dinafikan Kehadiran pelancong dari luar negara berlaku secara kerap untuk mengunjungi Malaysia. Selain pelancong domestik, Malaysia juga dikunjungi oleh pelancong-pelancong dari  Singapura, Indonesia ,Thailand, Brunei, Myanmar, India, Australia, United Kingdom, Jepun, New Zealand , Russia, Iran, Afrika Selatan, Perancis, China dan Amerika Syarikat. Banyak faedah yang negara perolehi hasil dari industri pelancongan ini akan dikupas mengikut perincian isi-isi selanjutnya. (201.p.p)

Pelancongan menyumbangkan pendapatan kepada negara
Faedah primer pelancongan adalah menyumbangkan pendapatan kepada negara. Industri pelancongan telah menjadi sektor ketiga terbesar menyumbangkan  pendapatan kepada negara selain industri pembuatan dan kelapa sawit. World Tourism Organization (UNWTO) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara kesembilan paling  tinggi dilawati di dunia dari 2009 hingga 2011. Malaysia turut berada pada kedudukan ke-14 teratas daripada segi pendapatan sektor pelancongannya. Melalui pelancongan, negara dapat mengumpulkan banyak mata wang asing bernilai tinggi melalui kadar tukaran wang asing yang dibawa oleh pelancong luar. Kejatuhan nilai RM berbanding matawang dunia sekarang, memberi memberi impak  positif kepada kehadiran pelancong. Semakin lama pelancong asing berada di Malaysia semakin banyak matawang asing beredar dalam kitaran ekonomi negara. Antara kos yang dikeluarkan oleh pelancong asing termasuklah kos penginapan, pengangkutan awam, sewaan kenderaan, makanan dan minuman, dobi dan membeli cenderamata.  Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia, melaporkan jumlah kedatangan pelancong asing telah meningkat setiap tahun iaitu  seramai 24.6 juta pelancong  pada tahun 2010 kepada 28 juta pada tahun lepas. Manakala pada tahun 2015, jumlah pelancong telah disasarkan kepada 29.4 juta pelancong. Pada tahun 2015, kerajaan telah mensasarkan pendapatan dari sektor pelancongan sebanyak  RM89 billion berbanding RM56.5 billion pada tahun 2010. Jelaslah bahawa dengan peningkatan data pelancong dan pendapatan yang positif ini adalah seiring dengan sasaran Pelan Tranformasi Pelancongan pada tahun 2020 yang mahu mencapai sasaran kehadiran 36 juta pelancong setahun dan pendapatan RM168 billion. (211 p.p)    
Pelancongan membuka banyak peluang pekerjaan. 
Seterusnya, pelancongan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja perhotelan, taman tema, restoran, agen pelancongan, pemandu pelancongan, pekerja pusat beli-belah, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat untuk menyokong industri pelancongan. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Misalnya di Johor, sebanyak 1374 permit bas persiaran dikeluarkan untuk beroperasi membawa pelancong Malaysia ke Singapura manakala 617(45%) permit dikeluarkan untuk pengusaha bas Singapura.  Hal ini disebabkan banyak insentif untuk mengembangkan industri pelancongan telah diberi oleh kerajaan. Antaranya, Insentif tanpa dikenakan cukai selama 3 tahun kepada pengusaha pelancong yang mengendalikan 750 pelancong asing dan 1500 pelancong domestik. Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Mohamad Abdullah Hemdi melihat inisiatif merancakkan sektor pelancongan ini akan menggalakkan pengusaha dan penggiat industri pelancongan untuk terus mengembangkan perniagaan mereka. Mengenai persediaan modal insan industri pelancongan, beliau berkata UiTM pada masa ini mempunyai 7,746 penuntut dalam bidang pengurusan hotel dan pelancongan manakala institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain turut menawarkan program berkaitan pelancongan bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu. Jelaslah bahawa sektor pelancongan juga mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa sama, dapat meningkatkan pendapatan perkapita dan  taraf hidup rakyat .(233 p.p) 
  
Pelancongan dapat memperkenalkan keindahan Hutan Malaysia. 
Selanjutnya, pelancongan dapat memperkenalkan keindahan Hutan Malaysia. Malaysia dipenuhi dengan  landskap alam semulajadi Hutan Hujan Tropika yang masih terpelihara sejak berjuta tahun lalu. Ia kaya dengan berbagai-bagai tumbuhan dan hidupan liar, di antaranya termasuklah 2,500 spesies pokok, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 110 spesies ular, 80 spesies cicak dan beribu-ribu serangga. Hutan kita juga memainkan peranan penting di dalam perlindungan serta pemeliharaan disamping mempunyai keunikan dan keindahan pemandangan alam yang memenuhi keperluan rekreasi dan eko-pelancongan. Penubuhan hutan lipur di dalam kawasan hutan simpan adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, eco-tourism dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan. Antara hutan lipur menarik termasuklah Tasik Dayang Bunting (Kedah), Taman Eko-Rimba Lata Kijang (Perak), Gunung Nuang (Selangor), Gunung Belumut (Johor) dan Jeram Linang (Kelantan). Beberapa aktiviti berkaitan pelancongan yang disediakan termasuklah tempat-tempat untuk kemudahan beristirahat di dalam hutan seperti tempat berkelah dan pemandangan jauh (look-out), taman-taman rekreasi dan kawasan-kawasan semulajadi yang indah. Disamping itu, pelancong dapat menjelajah di kawasan-kawasan hutan sambil menikmati keindahannya melalui penyediaan denai-denai hutan, kemudahan aktiviti-aktiviti mendaki gunung, bersampan serta lain-lain aktiviti yang berbentuk aktif.  Selain dapat melahirkan kesedaran akan  pentingnya mengekalkan keaslian alam sekitar khususnya hutan supaya terpelihara demi kesejahteraan kehidupan mereka, pelancong juga dapat meninggikan prestasi individu menerusi pembebasan fikiran daripada tekanan kesibukan kerja-kerja harian dan juga suasana persekitaran yang tidak tenteram terutamanya di bandar-bandar besar. Jelaslah bahawa pelancongan dapat memperkenalkan keindahan hutan kepada pelancong seterusnya menjadi sumber ekonomi kepada negara.(238) 

Pelancongan dapat memperkenalkan keindahan pulau-pulau di Malaysia. 
Sejurusnya, pelancongan juga dapat memperkenalkan keindahan pulau-pulau di Malaysia. Pulau-pulau di Malaysia umpama pagar yang memagari Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Beraneka keindahan pulau boleh diteroka oleh semua pelancong. Antara pulau-pulau yang menjadi tarikan kunjungan pelancong dari dalam dan dari luar negara sepanjang tahun termasuklah Pulau Sipadan, Pulau Tioman, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian. Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.  Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam. Kita dapat menyaksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.  Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara.  Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet. Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun. Jelaslah bahawa keunikan pulau yang terpelihara dapat memaparkan keindahan semulajadi kepada kehadiran pelancong tanpa henti.


Pelancongan dapat membawa pelancong merasai kehangatan penganjuran sukan antarabangsa.

Wednesday, April 8, 2015

CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

 Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi) negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.
            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.
                Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 
            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
            Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.
            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh. 

 Sumber: http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html

PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET

 
            Marcapada, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?
            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan internet dengan baik dan bijak.       
        Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 
            Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.
            Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.
            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.
            Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh anak-anak memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan. 

 Sumber: http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...