Tuesday, March 31, 2015

Langkah mengatasi pencemaran sungai

Tingkatan : 4                                                                                                                                   Topik : Melastarikan Alam Sekitar
 Tajuk : Langkah-langkah mengatasi pencemaran sungai.



Sungai merupakan nadi kehidupan semua benda hidup termasuk manusia, haiwan dan hidupan lainnya. Sungai memberikan sumber air bersih kepada kita untuk menyempurnakan kegiatan asas harian kita untuk minuman, memasak makanan dan mandi. Sejak zaman dahulu sungai menjadi jalan perhubungan dan pengangkutan dari satu destinasi ke destinasi lain. Malahan sungai juga memberi sumber makanan yang kaya dengan protin kepada manusia. Selain itu sungai yang bersih juga dapat menyumbang hasil pendapatan kepada negara melalui produk pelancongan berasaskan sungai. Namun begitu, selaras dengan peralihan zaman, masalah pencemaran air semakin menjadi-jadi. Pencemaran yang berlaku telah mengakibatkan kawasan tadahan air dimusnahkan. Hal ini juga telah banyak memberikan implikasi yang buruk kepada manusia dan hidupan lain, terutamanya hidupan akuatik. Sejurusnya, kita perlu sediakan payung sebelum hujan dengan mengadakan langkah pengawalan kebersihan sungai dari sekarang. Antara langkah-langkah mengatasinya dapat dijelaskan pada perenggan-perenggan selanjutnya.

Langkah primer ialah kerajaan perlu mengadakan Kempen Cintai Sungai. Kempen Cintai Sungai telah dimulakan sejak tahun 1993 yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. Kempen ini menumpukan kepada aktiviti-aktiviti gotong-royong membersihkan sungai. Selain dapat merapatkan hubungan antara masyarakat, aktiviti gotong-royong juga  dapat menyemai sikap menyintai sungai kita  dalam kalangan masyarakat setempat. Selain membersihkan sungai, aktiviti ini turut membabitkan kerja-kerja pengindahan sungai seperti penyediaan kemudahan rehat di sungai-sungai berkenaan. Antara sungai-sungai yang terlibat termasuklah Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat. Aktiviti ini seharusnya diadakan secara berkala sepanjang tahun dan melibatkan perbagai kategori dimana setiap kategori akan dipertandingkan bagi memupuk minat masyarakat setempat ke arah menyintai sungai. Antara kategori tersebut ialah Kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kategori Sekolah dan Kategori Perlancongan. Selain itu, kempen ini diperbagaikan dengan aktiviti ceramah-ceramah kesedaran di peringkat sekolah, pertandingan mewarna, ekspedisi sungai, gotong-royong dan sebagainya. Jelaslah melalui Kempen Cintai Sungai bukan sahaja dapat mendidik tetapi juga mendewasakan masyarakat tetang kepentingan sungai dalam kehidupan.

Seterusnya, pihak kerajaan perlu mengadakan undang-undang melarang pembuangan sampah-sarap domenstik ke dalam sungai. Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sampah ditakrifkan sebagai semua bahan buangan sama ada dalam bentuk pepejal, cecair atau dalam bentuk gas yang dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan dalam alam sekeliling yang akan menyebabkan pencemaran. Sampah domestik boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu organik, inorganik dan sampah sarap yang bersaiz besar. Sebagai contohnya, sampah jenis organik seperti plastik dan kertas. Sampah inorganik pula terdiri daripada kaca, tin alumunium, dan contoh sarap yang bersaiz besar ialah barangan perabot dan sampah tanaman. Pelepasan sampah ke dalam sungai akan menjejaskan penembusan sinaran matahari dan kadar kandungan oksigen yang terlarut dalam air. Alga dan lelumut yang menjadi sumber makanan hidupan akuatik juga akan terjejas. Akibatnya kelangsungan rantaian makanan hidupan sungai musnah. Kedegilan masyarakat membuang sampah merata-rata perlu dikenakan hukuman yang berat dan setimpal seperti saman wang tunai dan hukuman penjara serta mengadakan khidmat sosial secara percuma dalam tempoh yang telah ditetapkan. Justeru itu, cadangan mengadakan program mendidik pesalah dengan memperbagaikan kegunaan sampah dan pengurusan secara positif seperti proses kitar semula dan membuat baja kompos  sebagai satu langkah yang bijak. Pelaksanaan undang-undang akan memastikan persekitaran sungai yang harmoni dapat diwujudkan.




Selanjutnya, peranan pihak media massa juga ditagih dalam menangani isu pencemaran sungai. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar. Sejak dahulu lagi, semua masyarakat menyedari bahawa media massa memainkan peranan penting dalam mempengaruhi, membentuk dan mengubah cara pemikiran pembacanya. Apa sahaja ditayangkan dan dihebahkan akan menjadi ikutan masyarakat. Televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Sudah pasti info mengenai keadaan sungai yang semakin tercemar serta langkah untuk menjaganya dapat diakses dengan mudah. Sejurusnya, media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran sungai diseluruh negara melalui slot-slot iklan dan dalam siaran-siaran di televisyen. Salah satu rancangan televisyen dikenali Program Aduan Rakyat TV3 menjadi tatapan ramai. Hal ini disebabkan rancangan ini telah  banyak membantu menyelesaikan pelbagai polemik dalam negara seperti gejala rasuah dan pembalakan haram. Justeru itu, program ini perlu mengupas dan membuat pendedahan pula tentang pencemaran sungai secara kerap. Hal ini disebabkan, penyelesaian kepada segala masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas apabila pihak pelaku, pemilik tanah dan pihak berkuasa tempatan dilibatkan bersama.  Jelaslah, media massa juga dapat memainkan peranannya dalam memastikan sungai sentiasa bersih. 

Sejurusnya,  peranan pihak sekolah wajar terlibat sama dalam memupuk nilai-nilai murni dalam penjagaan sungai. Anak murid sedari usia muda perlu diberi kesedaran tentang kepentingan sungai bak kata pepatah melentur buluh biarlah ketika rebung. Poster-poster yang menyentuh isu pencemaran sungai perlu digantung dan ditampal di sudut-sudut khas dalam sekolah. Program 5 minit tentang sungai wajar diadakan.  Pembelajaran berkenaan topik sungai juga banyak disentuh dalam subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Geografi dan Sejarah. Secara tidak langsung sungai  telah menjadikan alat pendidikan yang merentasi kurikulum untuk mengembangkan pemupukan nilai positif terhadap sungai. Dalam pedagogi bahasa, pembelajaran dan pengajaran menggunakan pendekatan Kajian Masa Depan membolehkan murid dengan bimbingan guru membuat ekspedisi menjelajah sungai di kawasan tempat tinggal masing-masing. Khidmat Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh diminta sebagai salah satu aktiviti Khidmat Masyarakat. Sebagai contohnya, beberapa aktiviti yang sesuai boleh dilakukan seperti melihat punca pencemaran, mengenalpasti komuniti, memungut sampah, menebas rumput di pinggir dan membersihkan taman  sekitar Sungai Tengkorak di Pasir Gudang. Hasil laporan beserta refleksi yang disiapkan kemudiannya diberi markah dan sijil sebagai penghargaan kepada murid. Tidak cukup dengan aktiviti di dalam dan luar sekolah, pihak sekolah boleh mengadakan ekspedisi keluar negeri seperti melawat sungai yang paling tercemar dan sungai yang terurus dengan baik seperti Sungai Gombak dan Sungai Melaka. Pelajar dapat membezakan kandungan sampah terampai, saiz sungai, kedalaman sungai dan kepelbagaian aktiviti ekonomi di sekitar tebing sungai. Jelaslah, sekolah dapat menyedarkan masyarakat tentang sungai sejak dari usia muda.

Disamping itu, ibu bapa juga memainkan peranan dalam mendidik anak-anak tentang pemeliharaan sungai. Ibu bapa adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak sejak mereka dilahir. Ibu bapa adalah 'role model' kepada mereka ketika mereka belum memasuki alam persekolahan. Masyarakat luar akan menilai tingkah laku anak-anak ini umpama baik tingkah laku anak, baiklah tingkah laku induknya. Begitu juga dengan perumpamaan dimana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Ini disebabkan ciri-ciri kehidupan induknya akan terpapar apabila mereka berada dalam kumpulan masyarakat terbuka. Oleh itu, Ibu bapa perlulah menunjuk dan melakukan pembuangan sampah di tempat yang betul di hadapan anak-anak sejak usianya  kecil lagi disamping menyuruh anak melakukan dengan arahan-arahan dan panduan yang betul. Jika berada di luar rumah, sediakan  bekas sampah atau jika tiada bekas makanan seperti gula-gula pastikan anak-anak dipesan memasukkannya dalam poket dan membuangnya bila terjumpa tong sampah. Ibu bapa juga boleh membelikan dan membacakan buku cerita hal sungai dan kehebatannya pada masa lalu seperti cerita Sungai Hindus, Sungai Mekong, Sungai Manhattan, Sungai Amazon dan Sungai Pahang. Disamping itu, pada masa lapang bawalah anak  berjoging sama di kawasan riadah yang terdapat sungai. Pilihlah kawasan sungai yang mempunyai pemandangan yang indah agar  anak-anak dapat menginterpritasikan ideanya melalui lukisan. Kebolehan melukis  tentang keindahan sungai adalah satu kemenangan pendidikan secara informal  dari ibu bapa ke atas anak-anak. Jelaslah ibu bapa adalah orang paling rapat mendidik anak tentang kepentingan sungai.

Pemimpin masyarakat juga mempunyai peranan dalam mengawal pencemaran sungai dengan menjadikan sungai sebagai anak angkat. Pemimpin yang berwiwaba mampu mempengaruhi penyokong-penyokong yang menjadi komuniti di kawasannya. Semakin ramai dan kuat penyokongnya semakin hebat pengaruhnya.   Justeru itu, pemimpin harus menggunakan pengaruhnya ke arah yang positif untuk menarik sokongan ramai ke atas program yang dianjurkannya. Seterusnya, program ini diperturunkan ke peringkat pemimpin bawahannya. Pembentukan jawatankuasa pelaksana akan memastikan pelaksanaan dan perjalanan program dapat dilakukan dengan berkesan. Kejayaan  sungai angkat menjadi ujian kewibawaan pemimpin. Melalui program pemimpin turun padang dengan slot melawat  sungai angkat mengikut zon dapat juga menyemarakkan lagi penjagaan sungai angkat melalui peruntukan baru yang dititipkan bersama. Berbagai aktiviti boleh dilakukan dengan wang bantuan diterima seperti pertandingan sungai terindah, membesarkan taman permainan sedia ada, memperbanyakkan prasarana kemudahan di pinggir sungai seperti kemudahan sukan dan rekreasi, kemudahan wakaf, kemudahan jeti, kedai-kedai makan yang kekal dan tong-tong sampah yang bersaiz besar. Selanjutnya pembentukan jawatankuasa pegawai  pencemaran sungai yang diberi elaun tetap bukan sahaja dapat mengurangkan kos penyenggaraan dan memberi pendapatan kepada masyarakat, tetapi dapat memastikan kawalan kebersihan ke atas sungai dilakukan secara tetap dan berterusan. Lama-kelamaan cantuman keindahan zon-zon sungai angkat seperti di sepanjang Sungai Kota Tinggi, Sungai Benut dan Sungai Mersing dapat dilakukan dari semasa ke semasa sudah pasti satu lagi produk pelancongan berasaskan konsep pelancongan Sungai Melaka dapat dilahirkan dan diatasi.

Kesimpulannya, semua pihak perlu mengembling tenaga untuk mengatasi isu ini. Kita perlu bermusahabah diri dan tepuk dada tanya selera. Apakah yang dimahukan oleh masyarakat sekarang dengan sungai bak mutiara di depan mata mereka? Jika mahu memastikan Sungai Tengkorak, Sungai Segget dapat dinikmati akan kewujudannya pada hari ini berterusan sehingga ke zaman anak cucu kita, langkah proaktif pemeliharaan sungai perlu dilakukan dari sekarang. Ramai pemimpin terdahulu telah menyuarakan kebimbangannya tentang pencemaran sungai seperti Tan Seri Ramli Ngah Talib, mantan Menteri Besar Perak. Raungan mengenai kebimbangan akan kehilangan sungai juga telah menjadi tajuk-tajuk utama dalam penulisan blog, novel, sajak dan cerpen. Antara karya cerpen menarik yang menjadi kajian murid di sekolah menengah ialah Ibu dan Ceper karya Shahnon Ahmad. Sungai Ceper yang menjadi nadi kehidupan telah mengubah seluruh kehidupan komunitinya kesan akan perubahan sungai yang drastik. Semuanya bergantung kepada kerjasama dari semua pihak iaitu pihak kerajaan yang mempunyai kuasa dan sumber kewangan, masyarakat yang memberi sumbangan sumber manusia dan pihak individu yang memberi tenaga dan idea. Jika pihak dari bawahan iaitu individu menyokong program memelihara sungai dari tercemar sasarannya pasti akan berjaya umpama bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. 

Disediakan:
En Yat
1/4/2015


Monday, March 30, 2015

Format Ucapan/Ceramah kepetingan hutan



Sebagai  Pengerusi Persatuan Pecinta Alam Malaysia, anda telah diundang untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Hutan dan Kepentingannya Kepada Kehidupan Manusia Sejagat" kepada ahli Persatuan Pencinta Alam Negeri.

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, rakan-rakan pencita alam dari  seluruh negeri Johor. Alhamdulillah dapat juga kita berkumpul di pagi yang ceria ini.  Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap dalam majlis perhimpunan ahli alam sekitar di sini bertajuk Hutan dan Kepentingannya Kepada Kehidupan Manusia Sejagat.

Hadirin yang saya muliakan,

Sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi bahawa hutan merupakan khazanah alam yang amat tinggi nilainya.Hutan mendatangkan pelbagai impak yang positif kepada masyarakat dan negara. Tanpa hutan kita tidak akan dapat menikmati udara yang segar, minum air yang bersih dan menikmati keindahan panorama pada waktu ini. Macapada, hutan semakin terancam sebagai akibat keperluan pembangunan dan sikap ketamakan dan kerakusan masyarakat pada zaman ini. Mereka hanya melakukan sesuatu tindakan berlandaskan hawa nafsu dan keuntungan tanpa berlandaskan fikiran sedangkan mereka mengetahui kesan tindakan mereka terhadap hutan kepada generasi pada masa hadapan .Oleh sebab itu,semua pihak haruslah berganding bahu bagi memastikan hutan terpelihara kerana hutan memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.                            .

Hadirin sekelian,

       Antara kepentingan hutan kepada masyarakat ialah merupakan kawasan tadahan hujan. Apabila hujan turun, rimbunan daun pokok serta sistem akar dan tanah di kawasan hutan akan mengawal air hujan daripada terus melimpah ke sungai. Pada musim kemarau pula sistem tersebut akan mengeluarkan sebahagian air yang diperangkap tadi untuk mewujudkan keseimbangan alam semulajadi. Sebagai contoh hutan gambut semasa hujan bertindak sebagai span menyerap air dan semasa kemarau memberi kelembapan. Ini menjelaskan hutan merupakan sumber air dominan yang kita gunakan dalam rutin harian. Sekiranya hutan semakin pupus,sudah pasti sumber air sebagai tunjang kehidupan manusia akan merencatkan aktiviti rutin harian seperti penyediaan air minuman, memasak makanan, mandi dan membasuh pakaian.  Kekangan untuk mengekalkan hutan termasuklah kegiatan pembalakan haram yang semakin berleluasa pada hari ini.  Hal ini akan menyebabkan kita  akan kehilangan kawasan tadahan hujan sekali gus kita akan kehilangan sumber air yang berkualiti. Oleh itu,sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita hendaklah mengambil berat terhadap kegiatan pembalakan haram yang mengancam hutan kita.

Hadiri dan hadirat sekalian, 

           Selain itu, hutan penting dari aspek ekologi. Ekologi bermaksud hubungan antara habitat dan interaksi antara benda hidup dengan alam sekitar untuk kelangsungan hidup masing-masing. Seterusnya hubungan dan interaksi organisma dalam sesuatu ekosistem membolehkan aliran tenaga berlaku apabila proses makan dimakan dan proses pereputan berlangsung. Aliran ini membolehkan sesuatu ekosistem dapat dikekalkan. Sesebuah ekosistem menyediakan tapak untuk melengkapkan kitaran nutrien melalui interaksi antara komponen biotik dan abiotik yang boleh berlaku secara intra-ekosistem atau diantara beberapa inter-ekosistem. Hasil ekosistem hutan, pelbagai jenis pokok balak yang bermutu dapat dihasilkan yang membolehkan proses pembalakan dapat dilakukan secara terancang dan berterusan. Manakala ekosistem daratan pula dapat mengumpulkan tumbuhan-tumbuhan dan buah-buah  segar untuk dinikmati sebagai ulaman-ulaman yang. Hutan-hutan boleh menggalakkan pengumpulan hasil hutan seperti hutan rotan disamping tanaman herba-herba bermutu tinggi untuk tujuan perubatan seperti tongkat ali dan kacip fatimah. Jelaslah bahawa hutan perlu dipertahankan kerana hutan membawa kepentingan manusia sejagat daripada sumber makanan asli, sumber pendapatan dan sumber perubatan yang bermutu tinggi.

Hadirin Sekalian,

           Seterusnya, hutan dapat menstabilkan peratus suhu dan oksigen di permukaan bumi. Hutan yang luas dan terpelihara dari segi pohon-pohon menghijau membolehkan  proses fotosintesis dapat berjalan dengan baik. Proses fotosintesis amat penting dalam kehidupan masyarakat dalam memastikan purata suhu di negara kita tidak meningkat akibat daripada kesan rumah hijau boleh mendatangkan impak negatif kepada masyarakat. Kawalan penebangan pokok hutan perlu diperketatkan. Adalah dikhuatiri sekiranya tiada kawalan penebangan hutan,bilangan tumbuhan hijau akan berkurangan dan menyebabkan peratus karbon dioksida akan bertambah. Sejak belakangan ini kita telah dihambat dengan kesan  El-Nino iaitu panas dan kemarau dalam jangka masa yang lama. Walaupun dari segi geografi kedudukan negara kita terletak di garisan khatulistiwa, negara kita menerima nasib seperti negara yang kurang menerima hujan. Secara faktanya, negara kita mengalami iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun dengan purata hujan tahunan melebihi 2000mm tetapi  mengapa negara kita mengalami kemarau yang berpanjangan. Sudah pasti ia disebabkan oleh gangguan tangan dari manusia yang mendiami negara ini. Oleh yang demikian masyarakat yang bersikap materialistik hendaklah mengikis sikap tamak dalam sanubari mereka. Kita harus mengurangkan penebangan pokok dan membuat kitaran semula terutamanya mengenai  penggunaan kertas dan kayu.

Hadirin yang saya kasihi,



Saturday, March 28, 2015

PRODUK PELANCONGAN DI MALAYSIA



 OLEH : EN YAT

             Aktiviti Pelancongan telah mencetuskan satu fenomena yang baru dan drastik dalam kalangan  rakyat Malaysia. Pelancongan sudah menjadi satu produk utama menjana pendapatan dan ekonomi untuk rakyat dan negara bak kata pepatah masakan pokok bergoyang jika tiada angin yang bertiup. Hebahan mengenai kepentingan aktiviti pelancongan sentiasa tersiar di dada-dada akhbar masa kini. Atas kesedaran itu, masyarakat umum sedia menyokong semua program pelancongan yang dianjurkan. Pelancongan adalah aktiviti pergerakan manusia dari tempat asal ke tempat lain dan menetap dalam tempoh melebihi 24 jam untuk merehat diri dan menenangkan minda dengan  mengunjungi tempar-tempat menarik yang terdapat dalam negara dengan harapan pelancong membawa kenangan yang indah untuk dijadikan bahan penceritaan kepada rakan-rakan mereka. Dasar langit terbuka membolehkan sesiapa sahaja mengakses dan mengenali  kelebihan sesebuah negara untuk dikunjungi bagi mengisi program pemgembaraan dan percutian seseorang. Harus dielakkan paparan lama web indah khabar dari rupa jika mahu menggamit kehadiran pelancong. Jelaslah tindakan Kementerian Pelancongan Malaysia mempromosikan Malaysia  seperti "Tahun Melawat Malaysia" dan "Program Cuti-Cuti Malaysia" di dalam negara dan di luar negara memberi keyakinan kepada semua pelancong datang ke Malaysia saban tahun.  Terdapat beberapa produk pelancongan yang hebat di Malaysia.
                
            Pertamanya, Malaysia mempunyai produk pelancongan kepelbagaian persembahan kebudayaan dan kesenian. Setiap negeri dalam Malaysia mempunyai persembahan seni dan budaya masing-masing dan  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri menjadi penganjurnya. Sebagai contoh, persembahan kebudayaan yang terkenal di Johor termasuklah tarian zapin,  tarian kipas,dan  kuda kepang. Selain itu, persembahan permainan muzik tradisional seperti angklung dan muzik gamelan, permainan tradisional seperti sepak takraw dan layang-layang wau disamping persembahan memasak makanan tradisional turut diadakan. Persembahan ini biasanya disediakan secara berpakej dan pelancong boleh menghayati, merasai dan turut serta  dimana-mana lokasi baik di ibu negara atau di daerah-daerah lainnya. Kebanyakan persembahan kebudayaan dan kesenian  dilakukan ketika penganjuran festival tertentu sahaja. Kepada pelancong yang datang secara berkumpulan boleh melihat persembahan kebudayaan dan kesenian biasanya akan diuruskan oleh ajen pelancongan. Antara lokasi yang menyediakan persembahan kebudayaan untuk pelancong secara tetap termasuklah Istana Budaya, dan restoran-restoran terpilih seperti  Restoran Nelayan di Titiwangsa. Program kebudayaan dan kesenian yang diadakan bersama oleh pihak kerajaan dan swasta dapat merancakkan lagi pelancongan di Malaysia. Hasil kerjasama ini bukan sahaja menaikan nama  kerajaan , agen pelancongan dan  pihak restoran di mata pelancong dari dalam negeri tetapi juga pelancong  dari  luar negara. Jelaslah peranan persembahan kesenian dan kebudayaan dapat menjadi produk pelancongan yang mampu menaikkan nama Malaysia di mata dunia.
                
                   Selain tu, Malaysia juga memiliki keindahan alam semulajadi  yang menarik. Negara mempunyai banyak gugusan pulau-pulau yang cantik seperti di Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Sipadan. Pelancong boleh mengunjunginya pada setiap masa. Selain itu, Malaysia juga memiliki pesisiran pantai berpasir putih yang menganjur dari utara hingga Selatan di Pantai Barat dan Pantai Timur serta  lautan membiru yang mengelilingi Malaysia.  Aktiviti boleh dilakukan oleh pelancong di pulau dan pantai termasuklah aktiviti memancing,  berenang, skuba daiving, bersiar menggunakan kapal persiaran untuk  meninjau, melihat dan merasai kelembutan batu karang dan keindahan dasar laut. Di bahagian tengah negara, Malaysia memiliki himpunan hutan simpan yang menjadi kawasan tadahan hujan yang terpelihara. Di dalamnya, hutan simpan menjadi  habitat flora dan fauna yang terkawal spesisnya untuk berkembang tanpa gangguan dari pembangunan manusia. Di sini pelancong boleh merasai situasi hutan dan keindahan alam sambil memantau cara-cara kehidupan fauna melalui rumah atas pokok disediakan. Keunikan hutan yang lain ialah terdapat pelbagai  spesis orkid yang menarik dan bermutu tinggi nilainya. Untuk meninjau ke dalam hutan biasanya akan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat setiap minggu. Pelancong boleh berhubung dengan ranger hutan yang dilantik oleh pihak berkuasa yang mengawal hutan simpan. Jelaslah bahawa pelancong yang melalui lawatan ini pasti akan tertawan dengan keindahan, suasana semula jadinya untuk datang berkunjung kembali ke Malaysia.
                
              Seterusnya , Malaysia telah menjadi  destinasi  pelancongan kesihatan. Berdasarkan Kajian Indeks Tahunan Persaraan Global 2015 yang dijalankan majalah International Living berpangkalan di Amerika Syarikat pada bulan Februari lalu, Malaysia menduduki  tangga teratas dari segi kualiti sistem kesihatan selepas Costa Rica, Uruguay, Thailand dan Panama. Selain berkunjung untuk aktiviti santai dengan melihat dan mengunjungi lokasi yang menarik di Malaysia, pelancong luar yang datang ke Malaysia boleh mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik disediakan oleh hospital pakar swasta. Antaranya rangkai Hospital Pakar KPJ Helthcare Bhd, Hospital Regency, Hospital Pakar Bolivia, Hospital Pakar Putra Batu Pahat dan sebagainaynya. Hospital ini mempunyai kelebihan dari segi  kecanggihan aset  bidang perubatan, kepakaran dan prasarana yang ada mencukupi. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Shareena Azura Azli, Ketua Pegawai Eksklutif, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Pelancong yang mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia termasuklah pelancong dari negara China untuk mendapatkan rawatan kesuburan selepas penghapusan polisi hanya seorang anak dilupuskan. Pelancong dari Australia, New Zealand, Myanmar dan Vietnam untuk mendapatkan rawatan kosmetik. Selain itu lima rawatan menjadi pilihan pelancong adalah pembedahan jantung, ortopedik, pergigian, mata dan kosmetik. Hal ini, disebabkan Malaysia telah diakui menawarkan kos kesihatan yang rendah, pakar bedah terlatih, pakar gigi dan pakar lain yang terbaik  dan diktiraf badan antarabangsa.  Kesan daripada pelancongan kesihatan, negara dikatakan akan menjana ekonomi melalui pelancongan kesihatan  sekitar 1 billion sepanjang tahun 2015. Jelaslah, jika sesuatu produk pelancongan diperkenalkan melalui promosi, pakej pelancongan sudah pasti pelancongan kesihatan dapat menyumbang lebih daripada 1 billion.  


                         Seterusnya, Malaysia menjadi hos tetap hub perniagaan Maritim & Aeroangkasa bernilai berbillion ringgit. Antara acara tarikan yang dapat menarik dan menghimpunkan ramai pelancong dari seluruh dunia ialah penganjuran "Langkawi International Maritime & Aerospace (LIMA)".   LIMA '23 yang telah diadakan pada 23 hingga 27 Mei 2023 adalah penganjuran untuk kali ke-19. Penganjuran LIMA '23 dikata penganjuran paling berjaya  apabila edisi pada kali ini telah menarik 600 syarikat pempamer maritim dan aeroangkasa dari 30 buah negara serta melibat 1200 pertemuan antara delegasi ternama yang membawa kontrak bernilai RM 17.6 bilion yang telah ditandatanganinya melibatkan perjanjian aset pertahanan dan komersil. Bagi menggamit kehadiran pelancong, penganjur turut mengadakan persembahan akreobatik pesawat dari Angkatan Tentera Udara Malaysia, pasukan akrobatik luar negara iaitu Rusia, China, Korea,Selatan, Ameriah Arab Bersatu dan Indonesia. Selain berpeluang menyaksikan pertunjukkan dan pameran kekuatan, kehebatan teknologi aset maritim dan aeroangkasa, pelancong juga boleh pameran serta pertunjukan udara dan darat untuk melihat sendiri kapal terbang, jet pejuang, kapal selam, kapal perang dengan lebih dekat di samping mendapat cenderamata dan pameran produk daripada syarikat-syarikat koperat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi(LTA), Zainudin Kadir menyatakan bahawa keseluruhan 15, 656 bilik hotel telah ditempah oleh pelancong dalam kalangan agensi kerajaan dan syarikat yang menyertai pameran melibatkan bilik hotel bajet dan bilik hotel empat bintang yang terdapat di Langkawi melibatkan kutipan hasil sebanyak RM415 juta. Jelaslah bahawa penganjuran "Langkawi International Meritime & Aerospace menjadi serampang dua mata kepada Malaysia iaitu selain menarik kehadiran delegasi ternama, LIMA juga menjadi pemangkin kepada mempromosikan  Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang wajar dikunjungi oleh pelancong.                 


                            Malaysia juga menjadi destinasi tetap sukan pelancongan. Setiap tahun kalendar sukan antarabangsa membawa nama Malaysia dengan penganjuran Perlumbaan Formula 1  dan  Perlumbaan Moto GP di Litar Sepang, Kejohanan Perahu Layar Monsun Cup di Terengganu , Le Tour d Langkawi.(akan di edit).

                        

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...