Friday, April 10, 2015

MENGAPA PELANCONGAN SANGAT PENTING KEPADA MALAYSIA SEJAK TAHUN 1985 HINGGA KINI?


PENDAHULUAN. 

Sedar atau tidak, masyarakat  dunia telah membuka mata terhadap Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di dunia yang harus dikunjungi. Usaha berterusan sejak tahun 1985 membawa kepada kegemilangan sektor pelancongan Malaysia masa kini. Walaupun isu kapal terbang MAS MH370 yang terhempas pada Mac, 2013 menjejaskan sedikit kehadiran pelancong dari negara China, aktiviti pelancongan terus memberi sinergi kepada kehadiran pelancong dari negara lain. Setiap masa langkah mempromosikan  pelancongan Malaysia diadakan oleh pejabat Pelancongan Malaysia di dalam atau di luar negara. Tidak cukup dengan penubuhan Pejabat Pelancongan kekal, promosi juga diadakan dalam seminar dan pameran-pameran pelancongan yang dianjurkan diseluruh dunia. Tema penarik pelancongan juga dipelbagaikan seperti 'Visit Malaysia 2007', "Cuti-Cuti Malaysia 2012",  "Tahun Melawat Malaysia 2014" dan "Tahun Festival (MyFest) 2015". Pembatalan penggunaan visa kepada pelancong China turut dimeterai.  Hal ini disebabkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai berbagai produk pelancongan yang unik untuk diketengahkan. Oleh itu, tidak dinafikan Kehadiran pelancong dari luar negara berlaku secara kerap untuk mengunjungi Malaysia. Selain pelancong domestik, Malaysia juga dikunjungi oleh pelancong-pelancong dari  Singapura, Indonesia ,Thailand, Brunei, Myanmar, India, Australia, United Kingdom, Jepun, New Zealand , Russia, Iran, Afrika Selatan, Perancis, China dan Amerika Syarikat. Banyak faedah yang negara perolehi hasil dari industri pelancongan ini akan dikupas mengikut perincian isi-isi selanjutnya. (201.p.p)

Pelancongan menyumbangkan pendapatan kepada negara
Faedah primer pelancongan adalah menyumbangkan pendapatan kepada negara. Industri pelancongan telah menjadi sektor ketiga terbesar menyumbangkan  pendapatan kepada negara selain industri pembuatan dan kelapa sawit. World Tourism Organization (UNWTO) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara kesembilan paling  tinggi dilawati di dunia dari 2009 hingga 2011. Malaysia turut berada pada kedudukan ke-14 teratas daripada segi pendapatan sektor pelancongannya. Melalui pelancongan, negara dapat mengumpulkan banyak mata wang asing bernilai tinggi melalui kadar tukaran wang asing yang dibawa oleh pelancong luar. Kejatuhan nilai RM berbanding matawang dunia sekarang, memberi memberi impak  positif kepada kehadiran pelancong. Semakin lama pelancong asing berada di Malaysia semakin banyak matawang asing beredar dalam kitaran ekonomi negara. Antara kos yang dikeluarkan oleh pelancong asing termasuklah kos penginapan, pengangkutan awam, sewaan kenderaan, makanan dan minuman, dobi dan membeli cenderamata.  Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia, melaporkan jumlah kedatangan pelancong asing telah meningkat setiap tahun iaitu  seramai 24.6 juta pelancong  pada tahun 2010 kepada 28 juta pada tahun lepas. Manakala pada tahun 2015, jumlah pelancong telah disasarkan kepada 29.4 juta pelancong. Pada tahun 2015, kerajaan telah mensasarkan pendapatan dari sektor pelancongan sebanyak  RM89 billion berbanding RM56.5 billion pada tahun 2010. Jelaslah bahawa dengan peningkatan data pelancong dan pendapatan yang positif ini adalah seiring dengan sasaran Pelan Tranformasi Pelancongan pada tahun 2020 yang mahu mencapai sasaran kehadiran 36 juta pelancong setahun dan pendapatan RM168 billion. (211 p.p)    
Pelancongan membuka banyak peluang pekerjaan. 
Seterusnya, pelancongan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja perhotelan, taman tema, restoran, agen pelancongan, pemandu pelancongan, pekerja pusat beli-belah, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat untuk menyokong industri pelancongan. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Misalnya di Johor, sebanyak 1374 permit bas persiaran dikeluarkan untuk beroperasi membawa pelancong Malaysia ke Singapura manakala 617(45%) permit dikeluarkan untuk pengusaha bas Singapura.  Hal ini disebabkan banyak insentif untuk mengembangkan industri pelancongan telah diberi oleh kerajaan. Antaranya, Insentif tanpa dikenakan cukai selama 3 tahun kepada pengusaha pelancong yang mengendalikan 750 pelancong asing dan 1500 pelancong domestik. Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Mohamad Abdullah Hemdi melihat inisiatif merancakkan sektor pelancongan ini akan menggalakkan pengusaha dan penggiat industri pelancongan untuk terus mengembangkan perniagaan mereka. Mengenai persediaan modal insan industri pelancongan, beliau berkata UiTM pada masa ini mempunyai 7,746 penuntut dalam bidang pengurusan hotel dan pelancongan manakala institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain turut menawarkan program berkaitan pelancongan bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu. Jelaslah bahawa sektor pelancongan juga mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa sama, dapat meningkatkan pendapatan perkapita dan  taraf hidup rakyat .(233 p.p) 
  
Pelancongan dapat memperkenalkan keindahan Hutan Malaysia. 
Selanjutnya, pelancongan dapat memperkenalkan keindahan Hutan Malaysia. Malaysia dipenuhi dengan  landskap alam semulajadi Hutan Hujan Tropika yang masih terpelihara sejak berjuta tahun lalu. Ia kaya dengan berbagai-bagai tumbuhan dan hidupan liar, di antaranya termasuklah 2,500 spesies pokok, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 110 spesies ular, 80 spesies cicak dan beribu-ribu serangga. Hutan kita juga memainkan peranan penting di dalam perlindungan serta pemeliharaan disamping mempunyai keunikan dan keindahan pemandangan alam yang memenuhi keperluan rekreasi dan eko-pelancongan. Penubuhan hutan lipur di dalam kawasan hutan simpan adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, eco-tourism dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan. Antara hutan lipur menarik termasuklah Tasik Dayang Bunting (Kedah), Taman Eko-Rimba Lata Kijang (Perak), Gunung Nuang (Selangor), Gunung Belumut (Johor) dan Jeram Linang (Kelantan). Beberapa aktiviti berkaitan pelancongan yang disediakan termasuklah tempat-tempat untuk kemudahan beristirahat di dalam hutan seperti tempat berkelah dan pemandangan jauh (look-out), taman-taman rekreasi dan kawasan-kawasan semulajadi yang indah. Disamping itu, pelancong dapat menjelajah di kawasan-kawasan hutan sambil menikmati keindahannya melalui penyediaan denai-denai hutan, kemudahan aktiviti-aktiviti mendaki gunung, bersampan serta lain-lain aktiviti yang berbentuk aktif.  Selain dapat melahirkan kesedaran akan  pentingnya mengekalkan keaslian alam sekitar khususnya hutan supaya terpelihara demi kesejahteraan kehidupan mereka, pelancong juga dapat meninggikan prestasi individu menerusi pembebasan fikiran daripada tekanan kesibukan kerja-kerja harian dan juga suasana persekitaran yang tidak tenteram terutamanya di bandar-bandar besar. Jelaslah bahawa pelancongan dapat memperkenalkan keindahan hutan kepada pelancong seterusnya menjadi sumber ekonomi kepada negara.(238) 

Pelancongan dapat memperkenalkan keindahan pulau-pulau di Malaysia. 
Sejurusnya, pelancongan juga dapat memperkenalkan keindahan pulau-pulau di Malaysia. Pulau-pulau di Malaysia umpama pagar yang memagari Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Beraneka keindahan pulau boleh diteroka oleh semua pelancong. Antara pulau-pulau yang menjadi tarikan kunjungan pelancong dari dalam dan dari luar negara sepanjang tahun termasuklah Pulau Sipadan, Pulau Tioman, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian. Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.  Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam. Kita dapat menyaksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.  Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara.  Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet. Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun. Jelaslah bahawa keunikan pulau yang terpelihara dapat memaparkan keindahan semulajadi kepada kehadiran pelancong tanpa henti.


Pelancongan dapat membawa pelancong merasai kehangatan penganjuran sukan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...