Tuesday, December 15, 2020

Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Anak-anak Meminati Permainan Tradisional

 



Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, kita sering menyaksikan betapa lekanya masyarakat khususnya golongan muda menghadap skrin telefon bimbit di kedai-kedai makan mahupun di pasar raya awam disebabkan tidak mahu ketinggalan untuk bermain permainan secara atas talian bersama rakan-rakan maya. Antara contoh permainan secara atas talian yang sedang popular yang dapat kita ketengahkan termasuklah ‘ Mobile Legends ‘, ‘Fortnite Battle Royale’ dan juga ‘DOTA 2’. Sejak zaman dahulu, rakyat Malaysia terutamanya yang menetap di kawasan kampung akan berkumpul bersama pada waktu petang untuk bermain permainan tradisional bersama-sama tanpa mengira bangsa. Kaum Adam biasanya akan bermain wau dan gasing manakala kaum Hawa pula akan duduk beramai-ramai di anjung rumah untuk bermain congkak sementara kaum ibu berbual-bual mesra. Namun situasi ini amat jarang dilihat pada hari ini kerana majoriti beranggapan bahawa prmainan tradisional sudah lapuk dan ketinggalan zaman untuk dimainkan berbanding dengan permainan atas talian yang lebih terkenal dan dibangga-banggakan. Lebih menghampakan lagi, kebanyakan generasi pada hari ini tidak lagi mengetahui  tentang kewujudan permainan tradisional seperti congkak, tarik upih dan kelereng. Kenyataan ini dikukuhkan lagi oleh Kurator Kanan Muzium Negara, Puan Noraini Basri yang mengatakan bahawa permainan tradisional semakin dilupakan kerana berlakunya perkembangan aplikasi permainan secara maya secara berleluasa. Hal ini membuktikan bahawa sekiranya tiada prakarsa yang efektif diambil oleh pelbagai pihak, khususnya ibu bapa untuk mengetengahkan permainan tradisional kepada anak-anak tercinta yang akan mentadbir watan berdaulat ini suatu hari nanti supaya tinggalan nenek moyang kita ini tidak akan lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.Persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada kita ialah apakah  usaha-usaha yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak supaya mereka meminati permainan tradisional? Oleh hal yang demikian,usaha-usaha yang konkrit,sistematik lagi pragmatik yang harus dillakukan oleh  ibu bapa untuk memupuk minat anak-anak dalam permainan tradisional akan dikupas dan dibugar secara terperinci demi kebaikan bersama.

Sebagai lontaran idea perdana, ibu bapa seharusnya menguasai kemahiran untuk bermain permainan tradisional terlebih dahulu supaya dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian supaya peribahasa ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul tidak akan berlaku apabila ibu bapa terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan ilmu dan skil yang diperlukan dalam permainan tradisional yang mempunyai peraturan yang tertentu.Sebagai contoh, ibu bapa perlu mengetahui bilangan guli yang diperlukan untuk bermain congkak selain aturannya supaya mereka dapat mengajar anak-anak untuk bermain dengan cara yang betul dan bukan secara semberono dan membuta tuli. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dengan meletakkan gajet-gajet seperti telefon bimbit ketepi buat sementara waktu ketika mengajar mahupun bermain permainan tradisional bersama anak-anak supaya mereka tidak mempersoalkan mengapa mreka tidak dapat bermain permainan secara atas talian apabila ibu bapa sendiri sibuk dengan telefon bimbit masing-masing.Dengan cara ini, anak-anak bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama ibu bapa,namun tahap kesihatan mereka juga dapat ditingkatkan semasa bermain permainan tradisional seperti  sepak takraw dan galah panjang.Bukan itu sahaja, permainan seperti kabbadi yang memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang dapat mngeratkan hubungan sesama ahli keluarga seperti adik-beradik supaya hubungan mereka dapat diibaratkan seperti isi dengan kuku di samping menjalin hubungan silaturahim sesaama jiran tetangga. Apabila anak-anak mula berasa seronok bermain permainan tradisional, sudah tentu perasaan minat untuk mendalami permainan-permainan tradisional  yang lain akan timbul dalam diri anak-anak kerana tak kenal maka tak cinta. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa untuk menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menguasai kemahiran untuk bermain permainan tradisional akan menjadi penggalak supaya anak-anak meminati permainan tradisional.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, lontaran  idea yang kedua ialah ibu bapa sewajarnya memupuk semangat cinta akan permainan tradisonal dalam sanubari anak-anak dengan memberikan set permainan tradisional kepada anak-anak. Dalam konteks ini, kita sedia maklum bahawa anak-anak akan berasa lebih bersemangat untuk bermain  permainan yang baharu dan kelihatan menarik.Oleh sebab itu,ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk membelikan  anak-anak set permainan tradisional seperti papan congkak dan gasing yang banyak dijual di kedai-kedai serbaneka dengan harga yang berpatutan.Bukan itu sahaja, ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak untuk membuat sendiri set permainan tradisional mereka seperti  menjahit sendiri batu seremban dengan menggunakan cebisan kain terpakai  yang diisi dengan kacang hijau.Secara tidak langsung,daya pemikiran kritis, kreativiti dan inovatif anak-anak dapat dirangsang selain menjadikan mereka lebih menghargai set permainan tradisional yang dihasilkan sendiri oleh mereka. Anak-anak juga dapat bermain permainan tradisional seperti wau pada waktu petang di padang bersama sahabat handai apabila mereka memilikinya kerana mereka tidak perlu meminjam dan menunggu giliran untuk bermain. Dengan cara ini, anak-anak tidak akan mudah bosan lalu meneruskan bermain permainan secara atas talian semula akibat penat menunggu. Adalah lebih baik sekiranya ibu bapa membelikan set permainan tradisional sejak anak-anak masih di bangku sekolah lagi supaya minat terhadap permainan tradisional dapat disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sesungguhnya, jelaslah di sini bahawa pemberian set permainan tradisional kepada anak-anak oleh ibu bapa dapat memupuk minat dalam diri anak-anak terhadap permainan tradisional.

Kupasan dan huraian tentang usaha ibu bapa untuk memupuk minat anak-anak terhadap permainan tradisional tidak harus ada titik noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau pula dari aspek yang seterusnya iaitu ibu bapa perlulah membawa anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada oleh badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan di pelbagai peringkat. Sebagai contoh yang jelas lagi nyata, ibu bapa boleh membawa anak masing-masing untuk menyertai pertandingan permainan tradisonal yang lazimnya diadakan di peringkat kampung dan daerah setiap tahun. Melalui  cara yang proaktif ini, anak-anak akan mula bersemangat untuk berlatih bersungguh-sungguh untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pertandingan permainan tradisional seperti pertandingan sepak takraw dan  gasing.Apabila anak-anak galak berlatih dengan bimbingan ibu bapa, sudah tentu skil dan kemahiran mereka dapat diasah sekali gus menanamkan perasaan minat yang mendalam terhadap permainan tradisional. Namun,perkara yang perlu menjadi ingatan ialah ibu bapa harus menjelaskan kepada anak-anak bahawa kalah atau menang bukanlah persoalannya kerana menang dan kalah merupakan adat permainan. Ibu bapa harus menjadi penyokong anak-anak dan menyatakan objektif sebenar penyertaan anak-anak dalam pertandingan permainan tradisional iaitu bagi melihat dan menelusuri secara lebih terperinci tentang keindahan permainan tradisional di negara kita. Anak-anak juga akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri mereka bagi meningkatkan kemahiran mereka sedikit demi sedikit kerana percaya bahawa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.Apabila masa anak-anak diluangkan untuk berlatih bermain permainan tradisional, sudah tentulah mereka tidak akan obses untuk bermain permainan  secara atas talian memandangkan mereka akan memilih untuk berehat setelah mengerah tenaga dan keringat. Justeru, sudah tiada keraguan lagi bahawa peraaan minat terhadap permainan tradisional dapat timbul dalam diri anak-anak apabila mereka dibawa untuk menyertai pertandingan permainan tradisional oleh ibu bapa.

Sebelum menutup tirai perbincangan, lontaran idea yang terakhir ialah ibu bapa seharusnya mencadangkan kepada pihak sekolah melalui Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) agar pertandingan tradisional menjadi salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Seperti yang kita semua sedia maklum, anak-anak kini menghabiskan sekurang-kurangnya 8 jam di sekolah pada setiap hari persekolahan. Contoh ketara yang paling dekat dengan kita ialah ibu bapa boleh menulis surat kepada pihak sekolah menerusi perantara PIBG agar memasukkan permainan tradisional dalam sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah yang biasanya dijalankan pada hari Rabu setiap minggu. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar termasuklah anak- anak.Langkah ini amat relevan untuk memupuk minat anak-anak secara semula jadi  dalam permainan tradisional kerana bak kata bijak bestari, tak kenal maka tak cinta. Bukan setakat itu sahaja, ibu bapa boleh menyarankan kepada pihak skolah untuk menubuhkan kelab permainan tradisional sebagai salah satu cara untuk menanamkan minat anak-anak dalam memainkan permainan tradisional memandangkan anak-anak akan berasa lebih gembira untuk bermain permainan tradisional bersama dengan rakan-rakan karib mereka. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat para pelajar yang berpotensi untuk mewakili sekolah dalam pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah di samping mengharumkan nama sekolah ibarat serampang dua mata.Melalui prakarsa ini, anak-anak tidak akan menghabiskan masa senggang mereka dengan bermain permainan atas talian yang melalaikan, sebaliknya mereka dapat mencuba pelbagai permainan tradisional yang baharu dari semasa ke semasa. Deduksinya, izhar lagi nyata bahawa cadangan ibu bapa kepada pihak sekolah bagi menjadikan pertandingan tradisional menjadi salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk minat dalam diri anak-anak terhadap permainan tradisional.

Perbincangan ini telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam peranan ibu bapa amat dominan dalam menanam minat terhadap permainan tradisional dalam jiwa anak-anak kerana ibu bapalah insan yang paling rapat dan akrab dengan anak-anak mereka.Semua usaha yang telah dihuraikan secara panjang lebar ini harus dilaksanakan secara konsisten dan istiqamah bagi membuahkan hasilnya dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Mungkin ibu bapa akan menghadapi kesulitan awalnya untuk menjadikan anak-anak lebih berminat terhadap permainan tradisional berbanding dengan permainan atas talian, namun yakin dan percayalah bahawa tiada apa yang mustahil kerana alah bisa tegal biasa dan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika ibu bapa mengambil langkah awal, sudah tentu peribahasa bagai nasi sudah menjadi bubur tidak akan berlaku.Usaha yang dilaksanakan itu juga mestilah bersungguh-sungguh ibarat kata mutiara genggam bara api biar sampai jadi arang kerana sekiranya generasi muda akan datang tidak berminat mahupun mengenali permainan tradisional ini, siapa lagi yang akan mempertahankan warisan bangsa ini? Sebelum semuanya terlambat, sebelum visi dan misi menjadi kabur.sewajarnya semua pihak terutama ibu bapa melakukan anjakan paradigma bagi melahirkan generasi yang tidak menjadi hamba kepada permainan atas talian, sebaliknya memartabatkan dan menghargai permainan tradisional negara kita demi kesejahteraan sejagat.

Sumber : Modul Kertas 1 dan 2 PPMP Pasir Gudang 2020


No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...