Tuesday, December 15, 2020

Kelebihan pendidikan maya

 


Pendidikan maya telah menjadi semakin popular pada masa kini. Perkara ini selaras dengan arus pembangunan industri teknologi maklumat yang semakin berkembang. Agenda IT Kebangsaan (National IT Agenda, NITA) yang telah dilancarkan pada tahun 1996 menggariskan beberapa panduan  Malaysia boleh muncul sebagai sebuah negara maju. Salah satu agenda awal adalah mewujudkan pendidikan maya. Pendidikan ini telah diperluas dengan pengenalan konsep pembelajaran Sekolah Bestari, E-learning, Universiti terbuka dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan  sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikan di seluruh dunia. Pendidikan maya bermaksud pendidikan yang dijalankan dalam talian yang memerlukan murid melihat skrin, mendengar serta memberikan respons. Baru-baru ini, kerajaan telah memperkenalkan pendidikan maya di negara kita sejak bulan Mac tahun 2020 dalam usaha untuk meneruskan pembelajaran semasa pandemik Covid-19 yang amat meruncing. Namun begitu, ramai murid tidak mengetahui kebaikan pendidikan maya serta tidak menunjukkan minat terhadap pendidikan maya. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, marilah kita mengetahui kelebihan pendidikan maya.

             Sebagai menyahut ledakan teknologi maklumat, sewajarnyalah kita meraikan pendidikan maya sebagai salah wahana untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cepat dan mudah.  Pada zaman ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, setiap individu  bersaing untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan kerjaya masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w bersabda “tuntutlah ilmu walau di negara China sekalipun”. Walau sukar sekalipun, seseorang itu digalakkan mencari ilmu. Ilmu mampu meningkatkan martabat seseorang. Pada masa kini, ilmu mudah diperoleh melalui ruang siber. Ilmu yang merentasi dunia tanpa sempadan memberi banyak kelebihan kepada kita. Hanya dengan mengetik papan kekunci berbantukan perkhidmatan jalur lebar, seseorang itu boleh menjelajah ilmu pengetahuan ke seluruh pelosok negara melalui pendidikan maya atau virtual dengan cepat dan mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana maklumat berada di hujung jari. Pendidikan maya boleh kita menjelajahi pelbagai ilmu pengetahuan di seluruh pelosok dunia. Sebagai contoh yang dapat dibuktikan bagi merungkai persoalan ini ialah murid dapat melayari Internet untuk mencari maklumat dengan menggunakan enjin pencari seperti Google dan Yahoo serta laman-laman sesawang yang berkaitan. Natijahnya, murid tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan dengan sangat mudah dan menyeronokkan . Berdasarkan mauduk yang dibincangkan ini, jelaslah bahawa pendidikan maya membolehkan  ilmu dapat disampaikan dengan cepat dan mudah.

             Huraian beralih dan berfokus pula kepada perspektif murid boleh memanfaatkan penggunaan e-buku melalui pendidikan maya. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan . E-buku atau buku elektronik dapat memuatkan 300 naskhah buku dan mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Pada waktu yang sama, e-buku menjadi suatu wahana  pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Hal  ini bukan sekadar mudah digunakan tetapi juga menjimatkan kos. Sebagai contoh yang dapat dibuktikan ialah  murid boleh menggunakannya melalui alat-alat peranti seperti telefon pintar, gajet dan komputer riba. Tambahan pula, kebanyakan e-buku juga percuma dan lebih murah berbanding buku fizikal kerana tiada pencetakan kertas yang dilakukan. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah pada jangka masa yang panjang dan mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. Berdasarkan prakarsa yang telah dibincangkan di atas, jelaslah bahawa,  penggunaan e-buku atau buku elektronik dapat dimanfaatkan oleh semua murid.

     Mari kita capahkan lensa di bawah kata kunci yang ketiga iaitu  pendidikan maya dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan perbelanjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana segala urusan pembelajaran dapat dilakukan daripada keselesaan rumah sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, murid dapat menyertai kelas dalam talian menggunakan aplikasi seperti Google Meet, Cisco Webex Meeting  dan Zoom. Para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Tamsilnya, para pensyarah boleh menggunakan kemudahan  telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi untuk para pelajar Program Pendidikan Jarak Jauh. Oleh hal yang demikian, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang amat digalakkan oleh kerajaan..Justifikasinya, tiada keperluan untuk kita keluar dari rumah, maka tiada kos pengangkutan. Hal ini jelaslah bahawa dengan adanya pendidikan maya, kita dapat menjimatkan  pelbagai kos dalam kehidupan.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, pengenalan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam sistem pendidikan maya secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris. Hal ini selaras dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah Malaysia. Dasar tersebut mensasarkan pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana ilmu dunia banyak diperoleh dalam bahasa Inggeris. Pendedahan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah lagi boleh memberi banyak faedah kepada mereka. Pendidikan maya telah menyuntik semangat baru kepada pelajar untuk mendalami bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan maya mampu mengayakan perbendaharaan dan kosa kata bahasa Inggeris pelajar. Seterusnya meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka dalam bahasa tersebut. Pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Mereka juga akan menjadi pilihan utama majikan untuk mengambil mereka bekerja. Melalui prakarsa yang dibincangkan dalam wacana ini, nyatalah bahawa dengan adanya system pendidikan maya dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

 

            Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa banyak kelebihan yang dapat kita peroleh daripada pendidikan maya. Murid-murid mestilah memanfaatkan pendidikan maya agar dapat menjadi golongan yang berilmu pengetahuan dan berminda kelas pertama serta dapat bersaing dengan murid di negara maju. Hal ini membolehkan masyarakat kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan sudah tentunya dapat memajukan bidang pendidikan negara. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama dengan kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan di negara kita mencapat pendidikan bertaraf dunia.

Sumber : Modul Kertas 1 dan 2 PPMP Pasir Gudang 2020 


No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...