Monday, March 2, 2015

Isi dan huraian langkah-langkah masyarakat menangani masalah gejala sosial remaja

 Tapak jawapan ini untuk menjawab soalan menggunakan kata kunci 
peranan/fungsi/tanggungjawab/tugas/usaha/langkah/cara/tindakan/pendekatan/kaedah

ISU-ISUNYA :

Peranan/fungsi/tanggungjawab/tugas/usaha/langkah/cara/tindakan/pendekatan/kaedah 

1. Peranan kerajaan
Seterusnya, peranan kerajaan menguatkuasakan undang-undang(isi ) . Kerajaan merupakan badan yang mempunyai kuasa membuat, menggubal dan melaksanakan undang-undang. Tindakan penguatkuasaan pula diperturunkan kepada jabatan-jabatan di bawahnya seperti Pihak Berkuasa Tempatan perlu dilakukan sepanjang masa tanpa mengira tempat (huraian 1). Dalam hal ini, cadangan supaya ketetapan mewajibkan remaja di bawah umur 21 tahun perlu berada di dalam rumah bersama keluarga selepas jam 12.00 malam adalah satu kewajipan dan mandatori. Disamping itu, pegawai keselamatan perlu membuat rondaan secara berkala. Hal ini disebabkan kebanyakan remaja yang berkumpul tanpa membuat aktiviti berfaedah menjurus ke arah aktiviti tidak bermoral seperti merempit. Justeru itu, jika remaja merempit tertangkap,  remaja berkenaan perlu diberi hukuman yang setimpal seperti duduk dalam penjara selama dua hari tiga malam dan membuat kerja-kerja khidmat masyarakat selama sebulan. Impak dari tindakan pihak berkuasa yang membuat pemantauan secara berkala pasti mengurangkan aktiviti remaja merempit. Selain itu, dapat melahirkan rasa gerun kepada semua remaja yang terlibat.  Jelaslah bahawa jika kerajaan dapat menguatkuasakan undang-undang secara berterusan, saya yakin masalah sosial dalam negara ini dapat dikurangkan bak kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.-178 (10 ayat)

Sejurusnya, kerajaan juga boleh menganjurkan dan melaksanakan program kesedaran berkaitan masalah sosial di dalam kalangan remaja. Aktiviti ini boleh dilakukan semasa cuti hujung minggu atau pada musim cuti persekolahan yang panjang. Tarikan kehadiran ialah dalam kalangan kanak-kanak sekolah bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Program kesedaran boleh diadakan dimana-mana lokasi seperti penganjuran bersama dengan karnival beli-belah 'Sure Heboh TV3', karnival kerjaya dan  di gedung-gedung pusat membeli-belah. Tamsilnya, pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada remaja  seperti merempit (pameran kemalangan jalan raya) dan kesan penagihan dadah (pameran kesan penagihan dadah, jenis-jenis dadah). Aktiviti sampingan lain termasuklah mengadakan ceramah,  edaran pamplet dan program sukarelawan memupuk kasih sayang kepada masyarakat komuniti tempat tinggal. Kesan kempen  secara berterusan pasti dapat mendidik pengunjung menjauhi diri dari perkara yang menjurus melahirkan masalah sosial remaja. Seterusnya negara dapat membangun dengan pesat yang diolah oleh pemimpin pelapis yang ada. Jelaslah, jika program kesedaran dan pendidikan masalah sosial dilaksanakan secara berkala, saya pasti masalah sosial yang berat akan dapat dikurangkan.-166 (9 ayat)

Selanjutnya, kerajaan perlu mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat(isi). Hubungan antara kerajaan dan masyarakat komuniti di sesuatu kawasan tidak boleh dipisahkan. Kekuatan hubungan ini bagai aur dengan tebing atau cubit peha kiri, peha kanan turut terasa. Ini disebabkan membusuknya nama sesuatu kawasan, terpalit juga kepada kerajaan yang mentadbir kawasan tersebut bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga(Huraian isi). Oleh itu hubungan yang baik antara kerajaan dan semua komuniti setempat perlu diadakan sepanjang masa. Hubungan ini berlaku bukan sahaja di bandar-bandar besar, tetapi juga melibatkan bandar-bandar kecil, kampung-kampung dan taman-taman. Sebagai contoh, Pejabat Penghulu, Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung dan KRT perlu membuat perjumpaan sekali setiap bulan untuk menyampaikan permasalah komuniti masing-masing. Program memperkasakan keindahan dan keharmonian komuniti diadakan seperti gotong-royong, pemimpin turun padang dan aktiviti rukun tetangga diperkasakan. Selain itu, gerakan membasmi masalah sosial seperti melepak dan menghisap dadah dalam rumah kosong dan perbuatan  vandalisme dapat dibenteras dari awal bak kata pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jelaslah bahawa hubungan yang akrab antara kerajaan dan komuniti membawa sinergi ke arah kawasan sifar daripada masalah sosial. -178(10 ayat)

-Jika ada soalan menggunakan kata kunci peranan masyarakat salah satu isi boleh digunakan dan disesuai dengan kata tugas (soalan)


Peranan/fungsi/tanggungjawab/tugas/usaha/langkah/cara/tindakan/pendekatan/kaedah 

2. Peranan Sekolah


Sekolah adalah sebuah institusi yang disediakan oleh kerajaan sebagai tempat untuk mendidik, membina tingkahlaku positif remaja dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Remaja ke sekolah bukan sahaja untuk mengejar ilmu demi kejayaan masa depan tetapi juga untuk membentuk sahsiah positif dari segi kepimpinan, ketrampilan dan keberadaban mereka terutama dalam mendepani dunia luar yang lebih mencabar. Dalam aktiviti kurikulum, nilai-nilai murni telah merentasi intipati semua mata pelajaran yang disediakan. Manakala aktiviti kokurikulum pula,  semua murid perlu mempelajari  semua aspek insiniah.

Disamping itu sekolah menyediakan sesi kaunseling untuk pelajar bermasalah. Sekolah seboleh-bolehnya mahu mengelakkan remaja menerima angin salah. Oleh itu, setiap sekolah telah dibekalkan dengan pegawai kaunselor yang berpengalaman dalam mendengar dan menangani permasalahan pelajar dari segi sahsiah di dalam sekolah. Tindakan dari awal perlu dilakukan jika kita mendapati pelajar telah menunjukkan sikap-sikap negatif dalam sekolah agar tidak dibawa keluar. Tamsilnya, kita acap kali mendengar pengaduhan antara pelajar dengan pelajar sekolah yang sama atau sekolah lain di dada-dada akhbar. Hal ini bertambah rumit jika pergaduhan antara pelajar disokong dengan keterlibatan mereka dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang menaungi mereka. Jika mendapat kes seperti ini, pihak kaunselor perlu bertindak membuat sesi kaunseling kepada remaja berkenaan sama ada secara personal atau berkelompok dalam bilik khas yang telah ditetapkan secara berhati-hati bagai menarik sehelai rambut dalam tepung menyentuh kesan-kesan tingkah laku negatif pada masa depan pelajar. Jika kurang berkesan, kaunseling pelajar bersama ibu bapa perlu dilakukan supaya tindakan kaunselor lebih mapan. Menurut laporan pihak kaunselor, biasanya pelajar yang mendapat sesi kaunseling akan meninggalkan tabiat negatif secara perlahan-lahan. Jelaslah sesi kaunseling membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalan remaja dari dalam sekolah.


Sejurusnya, sekolah mengadakan tindakan koperatif bersama PIBG menangani masalah sosial remaja dari dalam dan luar sekolah. Sekolah telah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mempunyai tugasan menyokong apa sahaja aktiviti yang mampu membugarkan sahsiah pelajar selain membugarkan remaja untuk menerima ilmu secara maksima. Program Sarana Ibu Bapa telah diwujudkan untuk membantu sekolah jika sekolah mengalami masalah kewangan dan masalah hubungan ibu bapa dengan pihak sekolah, Dalam hal ini, PIBG menjadi penyatunya. PIBG harus bersama-sama dengan pihak sekolah ambil langkah menangani masalah sosial remaja setiap masa. Sekolah kena menyediakan bilik 'One Stop Centre' agar kefungsian PIBG dapat dilaksanakan secara maksima. Oleh kerana sekolah menaungi anak-anak mereka dan jika masalah sosial remaja melibat anak-anak mereka, ibu bapa perlulah bermusahabah diri, bersangka baik  dan usah bersikap bagai murai dicabut ekor. Pihak sekolah juga kena berkata benar walaupun pahit. Jika mendapati masalah disiplin di sekolah meruncing seperti ponteng sekolah, remaja melepak.  remaja menghisap rokok dan dadah,  bantuan PIBG sangat ditagih oleh pihak sekolah. Tindakannya ialah semua AJK PIBG dilantik memainkan peranan kerap mengunjungi rumah pelajar ponteng yang disenaraikan oleh pihak sekolah. Jika peranan PIBG dapat digunakan oleh pihak sekolah, saya yakin masalah ponteng sifar dapat dicapai sehingga ke akar umbinya.

Selanjutnya penerimaan sekolah akan kemasukan pegawai polis setempat dengan gelaran Pegawai Perhubungan Sekolah(PSS) dapat membantu masalah sosial remasa secara tidak langsung.  Sekolah yang menerima Pegawai Perhubungan Sekolah(PPS) biasanya mempunyai darjah masalah disiplin yang tinggi dari kes ponteng sekolah, menghisap rokok sehinggalah kes pergaduhan. Guru disiplin perlu rasa bersyukur dan berbesar hati atas perkhidmatan yang disediakan dari luar sekolah. Ini disebabkan bukan calang-calang pegawai polis diletakkan. Makin tinggi pangkat polis yang diterima oleh sekolah semakin mudah masalah disiplin yang kronik dapat diatasi. Mereka menjadi pakar rujuk utama jika ada kes-kes berat melibat remaja sekolah. Dalam hal ini, oleh kerana kesibukan PPS dengan tanggungjawab hakikinya, pihak sekolah kena sentiasa berhubung dengan pegawai berkenaan secara kerap. Pertemuan boleh diadakan di sekolah atau di pejabat pegawai PPS dilantik. Keberkesan penyediaan PPS di sekolah ialah dapat menyampaikan info berfakta berkenaan hukuman yang dikenakan jika melakukan masalah disiplin. Sebagai contoh jika pelajar bergaduh menggunakan senjata tumpul seperti kayu hoki, sudah pasti hukuman masuk dan tidur dalam lokap beberapa hari akan dikenakan.Selain itu, kehadiran PPS juga pasti menggusarkan kumpulan luar yang menaungi pelajar sekolah. Jika pegawai PPS tidak hadir setiap hari, kereta polis membuat rondaan secara berkala sudah menggusarkan mereka. Hasil pewujudan jawatan PPS di sekolah, masalah sosial remaja dari dalam sekolah dapat dikurangkan. Jelaslah pegawai PPS penting di sekolah.

Peranan/fungsi/tanggungjawab/tugas/usaha/langkah/cara/tindakan/pendekatan/kaedah 

3. Peranan Remaja

Setiap remaja perlu mempunyai pegangan agama dan moral yang kuatSaya percaya bahawa semua remaja yang ada pada hari ini sudah semestinya ditatang bagai minyak yang penuh. Semuanya telah diberi dan permintaan mereka telah dipenuhi termasuk keperluan asas, kasih sayang dan ajaran agama dan moral yang lengkap sejak kecil lagi. Tingkah laku, budaya dan amalan positif  juga telah dipertontonkan oleh keluarga mereka. Apa yang diharapkan oleh ibu bapa pada setiap hari semuanya adalah perkara yang baik-baik diterima dari akan-anak mereka bak kata bidalan kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Justeru itu, remaja perlu mempraktikan ajaran agama dan moral yang diterima pada setiap masa dan dimana jua mereka berada sebaik mungkin. Jadikan ajaran agama dan moral sebagai benteng yang kebal dari asakan anasir-anasir negatif dari persekitaran luar. Setiap agama sentiasa mengajar penganutnya sentiasa membuat kebaikan dan menjauhkan perkara yang mungkar.  Sebagai contoh, jika remaja diajak oleh rakan sebaya untuk melakukan perkara negatif seperti menghisap rokok, menghisap dadah dan melakukan budaya songsang biasanya remaja yang mempunyai pegangan agama akan memikir kesannya terlebih dahulu baik untuk diri, ibu bapa dan keluarga mereka.
Ini disebabkan balasan dosa dan pahala telah sebati dalam diri dan jiwa mereka.  Jelaslah, remaja yang mendapat didikan agama yang kuat akan dapat menghindarkan diri dari melakukan perkara yang merosakkan diri. - 214pp

Dalam mendepani kehidupan, semua remaja perlu pandai memilih rakan sebaya. Resmi seorang remaja jika tidak berkawan hidup tidak seindah mana. Rakan sebaya boleh terdiri daripada rakan sekelas, rakan sepermainan dan rakan bersosial yang mempunyai persamaan umur. Rakan sentiasa diperlukan oleh remaja setiap masa semasa aktiviti di dalam atau di luar kelas dalam  menyelesaikan tugasan yang diberi oleh guru. Rakan sebaya yang baik akan menjadi rakan kongsi untuk mendengar, memberi pendapat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Walau bagaimanapun dalam hubungannya dengan rakan sosial, hubungannya perlu diketahui oleh ibu bapa masing-masing seperti berkawan dengan siapa, anak siapa dan lokasi tempat tinggalnya dimana bak kata bidalan sediakan payung sebelum hujan. Rakan sosial yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang tidak diketahui asal-usulnya kebanyakannya umpama buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang. Sebagai contoh, berdasarkan pemerhatian dan perbualan berkenaan gejala rempit dan bohsia dengan beberapa remaja, antara jawapan yang diberikan terhadap persoalan ini ialah pengaruh rakan sebaya. Jika mahu diterima dalam kalangan rakan sebaya, mereka mestilah mengikut apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh rakan mereka. Jika tidak, tiada rakan yang akan menerima mereka. Ada juga dalam kalangan remaja yang menganggap perbuatan rakan mereka yang merempit dan menjadi bohsia sebagai hebat, jadi mereka terpengaruh untuk mencuba. Jelaslah, pemilihan rakan sebaya yang tepat dapat mengelakkan remaja terjebak dengan masalah sosial. -212pp

Peranan/fungsi/tanggungjawab/tugas/usaha/langkah/cara/tindakan/pendekatan/kaedah 

4. Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan pemimpin kepada anak-anak dalam sesebuah keluarga. Ajaran agama yang syumul perlu dipraktikkan setiap masa. Dalam konteks ini, kebanyakan institusi keluarga yang musnah disebabkan kerapuhan pegangan agama dalam kalangan ahli keluarga dapat dielakkan. Sebagai contoh, keluarga yang gersang dari segi amalan agama, yakni tidak mementingkan ajaran agama biasanya akan berhadapan dengan masalah. Oleh itu, amalan cara hidup seperti ditetapkan ajaran agama, masalah  sosial seperti anak derhaka, anak lari dari rumah dan  sumbang mahram tidak akan timbul kerana semua ahli keluarga mempunyai jati diri yang teguh. Mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW meliputi cara hidup muslim dan muslimah yang amat bernilai  untuk kita ikuti. Langkah ibu bapa mendidik anak-anak dengan menyemai sikap amar makruf nahi mungkar iaitu melakukan perkara-perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dalam diri diyakini dapat membentuk remaja daripada sebarang noda yang boleh merosakkan jiwa remaja. Hal ini demikian kerana remaja memahami tanggungjawab dan nilai-nilai menghormati dan ketaatan kepada keluarga. Menyedari nilai-nilai positif dalam keluarga, ibu bapa perlu mendidik anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. -171pp




Disediakan:
En Yat 
SMK Taman Megah Ria 
3/3/2015



No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...