Wednesday, September 7, 2016

Cara-cara Memupuk Nilai-nilai Murni Dalam Diri

Format Penulisan --> Isi -->Contoh -->Kesan --> Ayat Penyimpul

Zaman modenisasi kini , kita menyaksikan keruntuhan akhlak dan amalan nilai murni yang negatif dalam kalangan masyarakat berlaku secara berleluasa. Hal ini disebabkan masyarakat terlalu mengejar kebendaan dan keselesaan hidup hingga melupakan penerapan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. Persoalannya, bagaimanakah saya dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri? Saya akan mengupas cara-cara memupuk nilai-nilai murni dalam diri di dalam perenggan-perenggan selanjutnya.    

Langkah primer untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri  ialah mempelajarinya melalui ajaran agama dan moral yang secukupnya. Kebanyakan agama di dalam dunia mengajar umatnya atau pengikutnya supaya melakukan amalan baik seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, membantu orang yang susah dan bersahsiah baik. Kesan ajaran agama yang dipelajari mendorong saya untuk menjadi manusia yang baik, seorang yang berprinsip, menghormati orang yang lebih tua, dan sentiasa membantu orang lain dalam masyarakat. Jelaslah bahawa mempelajari ajaran agama dan moral dapat membentuk diri berjiwa penyayang .

Seterusnya, nilai-nilai murni boleh saya perolehi di sekolah yang diajarkan oleh guru. Antara subjek yang mempunyai ilmu mendidik nilai-nilai murni dalam diri termasuklah subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kesannya, nilai-nilai murni yang digilap melalui pelajaran secara formal dapat membentuk diri saya yang sentiasa menghormati kaum lain dari segi amalan agama, budaya, adat resam dan menjadi ahli masyarakat yang hidup secara bertoleransi. Tuntasnya, sekolah juga boleh menjadi agen kepada pemupukan nilai-nilai murni dalam diri.

Selanjutnya, memupuk nilai-nilai murni dalam diri boleh dilakukan melalui pembelajaran tingkah laku yang positif dalam sesebuah masyarakat. Antara nilai-nilai murni yang disemai oleh masyarakat yang diterima ramai termasuklah nilai-nilai yang terkandung dalam amalan adat resam, etika dan budaya kehidupan seperti amalan memberi salam, membuka kasut sebelum masuk rumah dan menghormati tetamu seperti yang terkandung dalam budaya Melayu. Kesan mengamalkan nilai-nilai murni sesebuah komuniti saya dapat menjadi seorang yang penyantun dan bersedia  mempertahankan tradisi budaya. Oleh itu, pembelajaran tingkah laku positif dalam sesebuah masyarakat juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri.

Disamping itu, nilai-nilai murni juga dapat dipupuk dengan cara mencontohi perwatakan ibu bapa saya. Ibu bapa adalah suri teladan kepada saya semasa kecil. Saya sering melihat tingkah laku positif yang dilakukan oleh ibu bapa ketika berada di rumah seperti cara bercakap, kemesraan yang ditunjukkan, cara melayan tetamu, cara makan dan amalan menjaga kebersihan alam sekitar. Tingkah laku positif yang saya lihat akan saya ikuti, amalkan dan menjadikan budaya dalam kehidupan saya apabila saya mempunyai keluarga sendiri seperti sentiasa menghormati orang lain dan menghargai alam sekitar. Jelaslah, perwatakan ibu bapa turut menjadi penyumbang pemupukan nilai-nilai murni dalan diri.  

Akhir sekali, nilai-nilai murni dapat dipupuk melalui penyertaan dalam program-program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Antara aktiviti yang disediakan termasuklah aktiviti mengenal diri sendiri, membina kumpulan kerja, cara-cara menjadi pelajar cemerlang dan menjadi seorang pemimpin. Kesan aktiviti yang disertai oleh saya akan dapat memberi keyakinan yang tinggi dalam menguruskan diri sendiri untuk menjadi seorang yang beriman, maju dalam pelajaran, sentiasa berdisiplin melaksanakan tanggungjawab dan menjadi pemimpin contoh kepada rakan lain di sekolah. Tuntasnya, program motivasi adalah salah satu program yang dapat memberi sinergi kepada kepribadian yang baik dalam diri saya.


Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu melaksanakan tugas memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak-anak dan masyarakat bagi memastikan masyarakat yang harmonis dan bersatu padu dapat dilahirkan. Seterusnya, keamanan negara yang dikecapi dapat membangunkan negara dengan lebih pantas.

533 patah perkataan

No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...