Assalamualaikum
dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Dihormati
Puan Hajah Aminah binti Abdullah, Pengetua SMK Dato’ Menteri, barisan warga
pendidik serta rakan-rakan pelajar yang saya sanjungi sekalian. Pada pagi yang
permai ini, saya selaku pengerusi Kelab Bimbingan dan Kerjaya amat bersyukur
kerana diberikan peluang keemasan untuk
menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Kepentingan
ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid’ sempena Minggu Kerjaya dan
Pendidikan peringkat sekolah. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh onak dan
duri, kita sering disajikan dengan isu ilmu pengetahuan yang sangat signifikan
dalam kehidupan setiap murid. Ironisnya, ilmu pengetahuan hanya dipandang
sebelah mata malah diabaikan oleh sesetengah murid yang tidak menyedari
kemaslahatan yang akan diperoleh melalui ilmu pengetahuan. Menurut ahli
falsafah yang terkemuka, Plato, ilmu pengetahuan adalah makanan bagi jiwa.
Dengan ilmu pengetahuan, kita dapat meraih kecemerlangan di dunia mahupun di
akhirat. Oleh hal yang demikian, murid-murid sewajarnya didedahkan dengan
kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan agar ilmu pengetahuan dapat
dimanfaatkan seoptimumnya. Persoalan yang sering menerjah dan menerawang dalam
minda kita ialah apakah kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid?
Dengan ini, bingkisan wacana tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam
kehidupan murid yang mewarnai fokus perbincangan akan saya kupas secara
terperinci untuk kepentingan bersama.
Sidang hadirin
yang dihormati sekalian,
Suatu hakikat yang tidak dapat
dikesampingkan ialah ilmu pengetahuan merupakan wahana untuk murid menguasai pelbagai ilmu pengetahuan
dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Daripada realiti ini, dapat kita
katakan bahawa ilmu pengetahuan diibaratkan sebagai jurang yang sememangnya
tiada batasan dan sempadan lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini kerana
ilmu pengetahuan meliputi semua aspek di dunia termasuklah bidang teknologi,
keagamaan, fakta sejarah dan banyak lagi. Bagi membuktikan perkara ini, contoh
yang dapat saya ketengahkan ialah terdapat pelbagai bidang ilmu yang kian hari
kian berkembaang pesat ibarat cendawan
tumbuh selepas hujan seperti penguasaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan
dan matematik (STEM). Dengan perkataan
lain, ilmu pengetahuan amat penting kerana mampu melengkapi murid-murid dengan
minda yang optimis untuk menguasai pelbagai bidang yang dipelajari. Perkara ini
amat penting untuk murid-murid mengorak langkah membina masa hadapan yang
cerah. Memetik bait-bait bernas Nelson Mandela, ilmu pengetahuan ibarat senjata
terbaik di dunia kerana dengan ilmu pengetahuan, kita dapat mengubah dunia.
Dalam konteks ini, sekiranya murid-murid dapat menguasai pelbagai disiplin
ilmu, nescaya pada masa hadapan mereka dapat membuat anjakan paradigma dalam
bidang sains dan teknologi lebih-lebih lagi dalam aspek perubatan moden. Pada
hemat saya, murid-murid wajarlah gigih dan bersungguh-sungguh untuk mendalami
ilmu pengetahuan seperti kata mutiara genggam bara api biar sampai jadi arang.
Izharlah bahawa ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan murid untuk membantu murid menguasai pelbagai bidang ilmu
dengan baik dan cemerlang.
Para pelajar yang
dihormati sekalian,
Seperkara
yang tidak kurang penting juga,ilmu
pengetahuan mampu untuk menjamin peluang pekerjaan pada masa hadapan. Namun
begitu, statistik terhadap kadar pengangguran di negara kita amat membimbingkan
dan begitu merisaukan. Hal ini telah menyebabkan persaingan yang begitu sengit
antara para graduasi untuk memperoleh pekerjaan demi menyara kehidupan. Oleh
hal yang demikian, dengan ilmu yang dimiliki, murid bakal dapat menjadi pesaing
yang kompetetif untuk memperoleh peluang pekerjaan. Berbekalkan ilmu
pengetahuan di dada, pastinya kita dapat menjadi yang terbaik dalam kalangan
yang terbaik. Malahan, kita juga dapat membuktikan kelayakkan murid untuk
menjawat pekerjaan yang lebih besar serta dapat mencapai cita-cita dan hasrat
yang sudah lama diimpikan sejak kecil lagi seperti doktor, jurutera dan peguam
persis peribahasa genggam bara api biar sampai jadi arang. Kerjaya profesional
ini ternyata bukanlah mudah dan memerlukan ilmu pengetahuan yang begitu tinggi.
Sehubungan dengan itu,suka saya ingatkan bahawa kita perlulah
bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu pengetahuan untuk menjamin masa hadapan
yang cerah bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak
datang melayang. Deduksinya, ilmu pengetahuan merupakan tiket emas bagi murid untuk mendapatkan peluang pekerjaan
yang baik demi masa depan yang cemerlang.
Hadirin yang
dihormati sekalian,
Kupasan dan huraian tentang
kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid tidak harus ada titik
noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai kata
ditinjau pula dari aspek yang lain iaitu ilmu pengetahuan dapat mengelakkan kita daripada mudah
dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjaawab.Bagi membuktikan
perkara ini,contoh yang dapat diketengahkan ialah penjualan produk-produk
tiruan yang telah meluas di pasaran seperti di pasar raya serta di kaki lima
oleh peniaga yang mementingkan diri sendiri ibarat enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing. Perkara yang lebih membimbangkan ialah terdapat
segelintir masyarakat yang mudah terpedaya dengan kata-kata manis para peniaga
terhadap produk jualannya. Hal ini demikian kerana masyarakat tersebut
berfikiran jumud dan cetek ilmunya sehingga menjadikan mereka sebagai sasaran
mudah bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan. Hal ini
menggambarkan senario sekiranya kita memandang enteng kemaslahatan ilmu
pengetahuan dalam kehidupan. Dalam hal ini, ilmu pengetahuan amat signifikan
kerana mampu mengelakkan diri kita daripada dihasut oleh para peniaga dengan
tipu daya mereka kerana ilmu pengetahuan membantu murid meluaskan horizon
pemikiran untuk bersikap rasional dalam
membuat tindakan selanjutnya. Oleh itu, murid-murid perlulah menyemai
kesungguhan dan semangat yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu pengetahuan
supaya menjadi lebih inetelektual dan berketerampilan dan bukannya sekadar
melepaskan batuk di tangga. Ringkasnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa
kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid adalah untuk mengelakkan
diri daripada mudah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bergerak pada lensa perbincangan
yang seterusnya, ilmu pengetahuan sangat vital dalam kehidupan murid kerana
mampu menjadi platform untuk berbakti
kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai tamsilnya, murid-murid yang
berilmu mampu menjadi tonggak kegemilangan agama, bangsa, dan negara di
peringkat global sehingga mengaut sanjungan daripada sekalian persona di
seantero dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana murid yang dipersiapkan
dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dapat menabur sejambak bakti kepada
agama, bangsa, dan negara dengan mencetuskan gelombang idea baharu seperti
karya sastera, teknologi canggih, kaedah perubatan moden dan banyak lagi
pembaharuan yang mendatangkan impak positif kepada manusia sejagat pada masa
hadapan. Tambahan lagi, murid-murid juga bakal menjadi pemangkin kemajuan
bangsa dan negara seperti yang dinukilkan oleh pujangga, pemuda harapan bangsa
pemudi tiang negara. Bertitik tolak daripada itu, amatlah penting bagi murid supaya
berlapang dada dan memberi tumpuan semaksima mungkin semasa menuntut ilmu
pengetahuan. Dengan berbuat sedemikian, kecemerlangan dapat digenggam erat
sehingga mampu menjadi wahana untuk murid mengaplikasikan ilmu pengetahuan untuk membangunkan negara ibarat duduk sama
rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh hal yang
demikian, murid-murid haruslah bersikap optimistik untuk mempraktikkan ilmu
pengetahuan di landasan yang betul agar membuahkan hasil yang manis. Selain
itu, murid-murid juga perlu cakna dengan hakikat bahawa menuntut ilmu
pengetahuan juga adalah suatu ibadah yang mendatangkan ganjaran yang lumayan di
dunia dan di akhirat kelak. Perkara ini dapat dibuktikan dengan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap
orang Islam lelaki dan perempuan. Natijahnya, kepentingan ilmu pengetahuan
dalam kehidupan murid adalah dapat memberikan peluang kepada murid untuk
memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.
Hadirin yang
dihormati sekalian,
Jika dilihat dari kaca mata yang
berbeza pula, ilmu pengetahuan mampu
mengubah taraf hidup murid. Pada realitinya,keadaan ekonomi yang kurang
stabil yang menyebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin
meningkat telah menjadi tamparan hebat
kepada setiap individu. Siapa sahaja yang tidak mahu hidupnya lebih selesa dan
bebas daripada belenggu kemiskinan? Oleh hal yang demikian,murid dapat membuka
peluang dan ruang untuk memperbaiki taraf hidup dengan ilmu pengetahuan. Contoh
yang paling nyata ialah mereka yang mempunyai gaji yang lumayan dan
berpendapatan tinggi mampu membina rumah yang indah,membeli kereta yang mewah
serta dapat menjalani kehidupan tanpa menanggung masalah kewangan.
Malahan,mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan juga dipandang tinggi dan
disegani oleh masyarakat sekeliling. Kehidupan yang mereka lalui adalah jauh
lebih baik dan sememangnya amat dicemburui. Dalam konteks ini, kita haruslah
mempertingkatkan ilmu pengetahuan supaya dapat menghindari daripada kancah
kemiskinan dan dilabelkan sebagai golongan melarat. Sejarah tamadun China telah
membuktikan bahawa mereka telah berjaya mengubah status dan taraf hidup mereka
melalui ilmu pengetahuan telah menyedarkan kita bahawa pentingnya ilmu
pengetahuan dalam kehidupan. Izharlah bahawa ilmu pengetahuan dapat mengubah
taraf hidup setiap individu untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sebagai menggulung segala yang telah
diperkatakan, dapatlah kita rumuskan bahawa ilmu pengetahuan sangat penting dalam
kehidupan setiap individu untuk menjamin masa hadapan yang cerah. Murid wajar
memandang serius terhadap kepentingan menuntut ilmu dan menggunakan peluang
yang ada untuk belajar hingga ke menara
gading agar dapat melakar kegemilangan pada masa hadapan. Semua pihak haruslah
memainkan peranan aula untuk memastikan kerancakkan penyebaran ilmu pengetahuan
yang meluas kepada setiap murid. Oleh itu, segala usaha dan alternatif yang
dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah disokong dan didukung demi
kepentingan pelbagai pihak khususnya murid sekolah bak kata mutiara dayung
sudah di tangan, perahu sudah di air. Sehubungan dengan itu, usaha yang
dilaksanakan perlulah besungguh-sungguh dan bukanlah skadar hangat-hangat tahi
ayam.Saya berharap agar ceramah pada kali ini dapat membuka mata semua murid
terhadap kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan murid. Sebelum visi dan
misi menjadi kabur, sewajarnya anjakan paradigma dan langkah sederap harus
dilaksanakan pada setiap detik untuk menjamin modal insan yang cemerlang dan
mampu berdiri di mercu kejayaan.
Sumber : Modul Kertas 1 dan 2 PPMP Pasir Gudang 2020
No comments:
Post a Comment