Dalam
dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, kita sering menyaksikan
betapa lekanya masyarakat khususnya golongan muda menghadap skrin telefon
bimbit di kedai-kedai makan mahupun di pasar raya awam disebabkan tidak mahu
ketinggalan untuk bermain permainan secara atas talian bersama rakan-rakan
maya. Antara contoh permainan secara atas talian yang sedang popular yang dapat
kita ketengahkan termasuklah ‘ Mobile Legends ‘, ‘Fortnite Battle Royale’ dan
juga ‘DOTA 2’. Sejak zaman dahulu, rakyat Malaysia terutamanya yang menetap di
kawasan kampung akan berkumpul bersama pada waktu petang untuk bermain
permainan tradisional bersama-sama tanpa mengira bangsa. Kaum Adam biasanya
akan bermain wau dan gasing manakala kaum Hawa pula akan duduk beramai-ramai di
anjung rumah untuk bermain congkak sementara kaum ibu berbual-bual mesra. Namun
situasi ini amat jarang dilihat pada hari ini kerana majoriti beranggapan
bahawa prmainan tradisional sudah lapuk dan ketinggalan zaman untuk dimainkan
berbanding dengan permainan atas talian yang lebih terkenal dan
dibangga-banggakan. Lebih menghampakan lagi, kebanyakan generasi pada hari ini
tidak lagi mengetahui tentang kewujudan
permainan tradisional seperti congkak, tarik upih dan kelereng. Kenyataan ini
dikukuhkan lagi oleh Kurator Kanan Muzium Negara, Puan Noraini Basri yang
mengatakan bahawa permainan tradisional semakin dilupakan kerana berlakunya
perkembangan aplikasi permainan secara maya secara berleluasa. Hal ini
membuktikan bahawa sekiranya tiada prakarsa yang efektif diambil oleh pelbagai
pihak, khususnya ibu bapa untuk mengetengahkan permainan tradisional kepada
anak-anak tercinta yang akan mentadbir watan berdaulat ini suatu hari nanti
supaya tinggalan nenek moyang kita ini tidak akan lapuk dek hujan dan tidak lekang
dek panas.Persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada kita ialah
apakah usaha-usaha yang perlu diambil
oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak supaya mereka meminati permainan
tradisional? Oleh hal yang demikian,usaha-usaha yang konkrit,sistematik lagi
pragmatik yang harus dillakukan oleh ibu
bapa untuk memupuk minat anak-anak dalam permainan tradisional akan dikupas dan
dibugar secara terperinci demi kebaikan bersama.
Sebagai
lontaran idea perdana, ibu bapa seharusnya menguasai
kemahiran untuk bermain permainan tradisional terlebih dahulu supaya dapat
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian supaya
peribahasa ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul tidak akan berlaku
apabila ibu bapa terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan ilmu dan skil yang
diperlukan dalam permainan tradisional yang mempunyai peraturan yang
tertentu.Sebagai contoh, ibu bapa perlu mengetahui bilangan guli yang
diperlukan untuk bermain congkak selain aturannya supaya mereka dapat mengajar
anak-anak untuk bermain dengan cara yang betul dan bukan secara semberono dan
membuta tuli. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak
dengan meletakkan gajet-gajet seperti telefon bimbit ketepi buat sementara
waktu ketika mengajar mahupun bermain permainan tradisional bersama anak-anak
supaya mereka tidak mempersoalkan mengapa mreka tidak dapat bermain permainan
secara atas talian apabila ibu bapa sendiri sibuk dengan telefon bimbit
masing-masing.Dengan cara ini, anak-anak bukan sahaja dapat meluangkan masa
bersama ibu bapa,namun tahap kesihatan mereka juga dapat ditingkatkan semasa
bermain permainan tradisional seperti
sepak takraw dan galah panjang.Bukan itu sahaja, permainan seperti
kabbadi yang memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang dapat mngeratkan hubungan
sesama ahli keluarga seperti adik-beradik supaya hubungan mereka dapat
diibaratkan seperti isi dengan kuku di samping menjalin hubungan silaturahim
sesaama jiran tetangga. Apabila anak-anak mula berasa seronok bermain permainan
tradisional, sudah tentu perasaan minat untuk mendalami permainan-permainan
tradisional yang lain akan timbul dalam
diri anak-anak kerana tak kenal maka tak cinta. Jelaslah bahawa peranan ibu
bapa untuk menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menguasai kemahiran
untuk bermain permainan tradisional akan menjadi penggalak supaya anak-anak
meminati permainan tradisional.
Lanjutan
daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, lontaran idea yang kedua ialah ibu bapa sewajarnya memupuk semangat cinta akan permainan
tradisonal dalam sanubari anak-anak dengan memberikan set permainan tradisional
kepada anak-anak. Dalam konteks ini, kita sedia maklum bahawa anak-anak
akan berasa lebih bersemangat untuk bermain
permainan yang baharu dan kelihatan menarik.Oleh sebab itu,ibu bapa
perlu mengambil inisiatif untuk membelikan
anak-anak set permainan tradisional seperti papan congkak dan gasing
yang banyak dijual di kedai-kedai serbaneka dengan harga yang berpatutan.Bukan
itu sahaja, ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak untuk membuat sendiri set
permainan tradisional mereka seperti
menjahit sendiri batu seremban dengan menggunakan cebisan kain
terpakai yang diisi dengan kacang
hijau.Secara tidak langsung,daya pemikiran kritis, kreativiti dan inovatif
anak-anak dapat dirangsang selain menjadikan mereka lebih menghargai set
permainan tradisional yang dihasilkan sendiri oleh mereka. Anak-anak juga dapat
bermain permainan tradisional seperti wau pada waktu petang di padang bersama
sahabat handai apabila mereka memilikinya kerana mereka tidak perlu meminjam
dan menunggu giliran untuk bermain. Dengan cara ini, anak-anak tidak akan mudah
bosan lalu meneruskan bermain permainan secara atas talian semula akibat penat
menunggu. Adalah lebih baik sekiranya ibu bapa membelikan set permainan
tradisional sejak anak-anak masih di bangku sekolah lagi supaya minat terhadap
permainan tradisional dapat disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sesungguhnya, jelaslah di
sini bahawa pemberian set permainan tradisional kepada anak-anak oleh ibu bapa
dapat memupuk minat dalam diri anak-anak terhadap permainan tradisional.
Kupasan
dan huraian tentang usaha ibu bapa untuk memupuk minat anak-anak terhadap
permainan tradisional tidak harus ada titik noktahnya, maka sebagai meneruskan
kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau pula dari aspek yang
seterusnya iaitu ibu bapa perlulah
membawa anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan permainan
tradisional yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada oleh badan
kerajaan mahupun badan bukan kerajaan di pelbagai peringkat. Sebagai contoh
yang jelas lagi nyata, ibu bapa boleh membawa anak masing-masing untuk
menyertai pertandingan permainan tradisonal yang lazimnya diadakan di peringkat
kampung dan daerah setiap tahun. Melalui
cara yang proaktif ini, anak-anak akan mula bersemangat untuk berlatih
bersungguh-sungguh untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pertandingan permainan
tradisional seperti pertandingan sepak takraw dan gasing.Apabila anak-anak galak berlatih
dengan bimbingan ibu bapa, sudah tentu skil dan kemahiran mereka dapat diasah
sekali gus menanamkan perasaan minat yang mendalam terhadap permainan
tradisional. Namun,perkara yang perlu menjadi ingatan ialah ibu bapa harus menjelaskan
kepada anak-anak bahawa kalah atau menang bukanlah persoalannya kerana menang
dan kalah merupakan adat permainan. Ibu bapa harus menjadi penyokong anak-anak
dan menyatakan objektif sebenar penyertaan anak-anak dalam pertandingan
permainan tradisional iaitu bagi melihat dan menelusuri secara lebih terperinci
tentang keindahan permainan tradisional di negara kita. Anak-anak juga akan
berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri mereka bagi meningkatkan kemahiran
mereka sedikit demi sedikit kerana percaya bahawa sehari selembar benang,
lama-lama menjadi kain.Apabila masa anak-anak diluangkan untuk berlatih bermain
permainan tradisional, sudah tentulah mereka tidak akan obses untuk bermain
permainan secara atas talian
memandangkan mereka akan memilih untuk berehat setelah mengerah tenaga dan
keringat. Justeru, sudah tiada keraguan lagi bahawa peraaan minat terhadap
permainan tradisional dapat timbul dalam diri anak-anak apabila mereka dibawa
untuk menyertai pertandingan permainan tradisional oleh ibu bapa.
Sebelum
menutup tirai perbincangan, lontaran idea yang terakhir ialah ibu bapa seharusnya mencadangkan kepada pihak
sekolah melalui Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu
Bapa (KSIB) agar pertandingan tradisional menjadi salah satu aktiviti
kokurikulum di sekolah. Seperti yang kita semua sedia maklum, anak-anak
kini menghabiskan sekurang-kurangnya 8 jam di sekolah pada setiap hari
persekolahan. Contoh ketara yang paling dekat
dengan kita ialah ibu bapa boleh menulis surat kepada pihak sekolah menerusi
perantara PIBG agar memasukkan permainan tradisional dalam sebahagian daripada
aktiviti kokurikulum di sekolah yang biasanya dijalankan pada hari Rabu
setiap minggu. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan
tradisional kepada semua pelajar termasuklah anak- anak.Langkah ini amat
relevan untuk memupuk minat anak-anak secara semula jadi dalam permainan tradisional kerana bak kata
bijak bestari, tak kenal maka tak cinta. Bukan setakat itu sahaja, ibu bapa
boleh menyarankan kepada pihak skolah untuk menubuhkan kelab permainan
tradisional sebagai salah satu cara untuk menanamkan minat anak-anak dalam
memainkan permainan tradisional memandangkan anak-anak akan berasa lebih
gembira untuk bermain permainan tradisional bersama dengan rakan-rakan karib
mereka. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat para
pelajar yang berpotensi untuk mewakili sekolah dalam pertandingan permainan
tradisional antara sekolah-sekolah di samping mengharumkan nama sekolah ibarat
serampang dua mata.Melalui prakarsa ini, anak-anak tidak akan menghabiskan masa
senggang mereka dengan bermain permainan atas talian yang melalaikan,
sebaliknya mereka dapat mencuba pelbagai permainan tradisional yang baharu dari
semasa ke semasa. Deduksinya, izhar lagi nyata bahawa cadangan ibu bapa kepada
pihak sekolah bagi menjadikan pertandingan tradisional menjadi salah
satu aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk minat dalam diri anak-anak
terhadap permainan tradisional.
Perbincangan ini telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam peranan ibu bapa amat dominan dalam menanam minat terhadap permainan tradisional dalam jiwa anak-anak kerana ibu bapalah insan yang paling rapat dan akrab dengan anak-anak mereka.Semua usaha yang telah dihuraikan secara panjang lebar ini harus dilaksanakan secara konsisten dan istiqamah bagi membuahkan hasilnya dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Mungkin ibu bapa akan menghadapi kesulitan awalnya untuk menjadikan anak-anak lebih berminat terhadap permainan tradisional berbanding dengan permainan atas talian, namun yakin dan percayalah bahawa tiada apa yang mustahil kerana alah bisa tegal biasa dan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika ibu bapa mengambil langkah awal, sudah tentu peribahasa bagai nasi sudah menjadi bubur tidak akan berlaku.Usaha yang dilaksanakan itu juga mestilah bersungguh-sungguh ibarat kata mutiara genggam bara api biar sampai jadi arang kerana sekiranya generasi muda akan datang tidak berminat mahupun mengenali permainan tradisional ini, siapa lagi yang akan mempertahankan warisan bangsa ini? Sebelum semuanya terlambat, sebelum visi dan misi menjadi kabur.sewajarnya semua pihak terutama ibu bapa melakukan anjakan paradigma bagi melahirkan generasi yang tidak menjadi hamba kepada permainan atas talian, sebaliknya memartabatkan dan menghargai permainan tradisional negara kita demi kesejahteraan sejagat.
Sumber : Modul Kertas 1 dan 2 PPMP Pasir Gudang 2020
No comments:
Post a Comment