Pendidikan maya telah
menjadi semakin popular pada masa kini. Perkara ini selaras dengan arus pembangunan
industri teknologi maklumat yang semakin berkembang. Agenda IT Kebangsaan
(National IT Agenda, NITA) yang telah dilancarkan pada tahun 1996 menggariskan
beberapa panduan Malaysia boleh muncul
sebagai sebuah negara maju. Salah satu agenda awal adalah mewujudkan pendidikan
maya. Pendidikan ini telah diperluas dengan pengenalan konsep pembelajaran
Sekolah Bestari, E-learning, Universiti terbuka dan Pembelajaran Sepanjang
Hayat (PSH). Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim
bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini
telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita
atas usaha kerajaan untuk memartabatkan
sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk
melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem
pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran
dan pembelajaran agar boleh diaplikasikan di seluruh dunia. Pendidikan maya bermaksud pendidikan yang dijalankan dalam
talian yang memerlukan murid melihat skrin, mendengar serta memberikan respons.
Baru-baru ini, kerajaan telah memperkenalkan pendidikan maya di negara kita sejak bulan Mac tahun 2020 dalam usaha untuk meneruskan pembelajaran semasa pandemik Covid-19 yang amat
meruncing. Namun begitu, ramai murid tidak mengetahui kebaikan pendidikan maya
serta tidak menunjukkan minat terhadap pendidikan maya. Hal ini dikatakan
demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, marilah kita mengetahui
kelebihan pendidikan maya.
Sebagai
menyahut ledakan teknologi maklumat, sewajarnyalah kita meraikan pendidikan
maya sebagai salah wahana untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cepat dan
mudah. Pada zaman ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, setiap
individu bersaing untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan kerjaya
masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w bersabda “tuntutlah ilmu walau di negara
China sekalipun”. Walau sukar sekalipun, seseorang itu digalakkan mencari ilmu.
Ilmu mampu meningkatkan martabat seseorang. Pada masa kini, ilmu mudah
diperoleh melalui ruang siber. Ilmu yang merentasi dunia tanpa sempadan memberi
banyak kelebihan kepada kita. Hanya dengan mengetik papan kekunci berbantukan
perkhidmatan jalur lebar, seseorang itu boleh menjelajah ilmu pengetahuan ke
seluruh pelosok negara melalui pendidikan maya atau virtual dengan cepat dan
mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana
maklumat berada di hujung jari. Pendidikan maya boleh kita menjelajahi pelbagai
ilmu pengetahuan di seluruh pelosok dunia. Sebagai contoh yang dapat dibuktikan
bagi merungkai persoalan ini ialah murid dapat melayari Internet untuk mencari
maklumat dengan menggunakan enjin pencari seperti Google dan Yahoo serta
laman-laman sesawang yang berkaitan. Natijahnya, murid tidak akan menjadi
seperti katak di bawah tempurung kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan
dengan sangat mudah dan menyeronokkan . Berdasarkan mauduk yang dibincangkan
ini, jelaslah bahawa pendidikan maya membolehkan ilmu dapat disampaikan dengan cepat dan
mudah.
Huraian
beralih dan berfokus pula kepada perspektif murid boleh memanfaatkan penggunaan
e-buku melalui pendidikan maya. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan .
E-buku atau buku elektronik dapat memuatkan 300 naskhah buku dan mempunyai
pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan
kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Pada waktu
yang sama, e-buku menjadi suatu wahana pendekatan interpersonal antara
guru dengan pelajar juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Hal ini bukan sekadar
mudah digunakan tetapi juga menjimatkan kos. Sebagai contoh yang dapat
dibuktikan ialah murid boleh
menggunakannya melalui alat-alat peranti seperti telefon pintar, gajet dan
komputer riba. Tambahan pula, kebanyakan e-buku juga percuma dan lebih murah
berbanding buku fizikal kerana tiada pencetakan kertas yang dilakukan. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim
Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah pada jangka masa yang panjang dan mampu
menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah
kelas. Berdasarkan prakarsa yang telah dibincangkan di atas, jelaslah bahawa, penggunaan e-buku
atau buku elektronik dapat dimanfaatkan oleh semua murid.
Mari kita
capahkan lensa di bawah kata kunci yang ketiga iaitu pendidikan maya dapat menjimatkan pelbagai
kos kehidupan seperti penginapan dan perbelanjaan. Hal ini dikatakan demikian
kerana segala urusan pembelajaran dapat dilakukan daripada keselesaan rumah
sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, murid dapat menyertai kelas dalam
talian menggunakan aplikasi seperti Google Meet, Cisco Webex Meeting dan Zoom. Para
pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka
dengan pensyarah. Tamsilnya, para pensyarah boleh menggunakan kemudahan
telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi
yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos
yang tinggi untuk para pelajar Program Pendidikan Jarak Jauh. Oleh hal yang demikian, golongan
seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu
menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat
memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang amat digalakkan oleh
kerajaan..Justifikasinya, tiada keperluan
untuk kita keluar dari rumah, maka tiada kos pengangkutan. Hal ini jelaslah
bahawa dengan adanya pendidikan maya, kita dapat menjimatkan pelbagai kos dalam kehidupan.
Lanjutan daripada huraian
yang telah dinyatakan di atas, pengenalan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) dalam sistem pendidikan maya secara tidak langsung dapat meningkatkan
penguasaan murid dalam bahasa Inggeris. Hal ini selaras dengan dasar penggunaan
bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah
Malaysia. Dasar tersebut mensasarkan pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris
dengan baik kerana ilmu dunia banyak diperoleh dalam bahasa Inggeris.
Pendedahan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah lagi boleh
memberi banyak faedah kepada mereka. Pendidikan maya telah menyuntik semangat
baru kepada pelajar untuk mendalami bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris
dalam pendidikan maya mampu mengayakan perbendaharaan dan kosa kata bahasa
Inggeris pelajar. Seterusnya meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka dalam
bahasa tersebut. Pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik dapat
bersaing di peringkat antarabangsa. Mereka juga akan menjadi pilihan utama
majikan untuk mengambil mereka bekerja. Melalui prakarsa yang dibincangkan
dalam wacana ini, nyatalah bahawa dengan adanya system pendidikan maya dapat
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
Kesimpulannya,
sudah terang lagi bersuluh bahawa banyak kelebihan yang dapat kita peroleh
daripada pendidikan maya. Murid-murid mestilah memanfaatkan pendidikan maya
agar dapat menjadi golongan yang berilmu pengetahuan dan berminda kelas pertama
serta dapat bersaing dengan murid di negara maju. Hal ini membolehkan
masyarakat kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan sudah tentunya dapat
memajukan bidang pendidikan negara. Para pelajar akan lebih
terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara
menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat
dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian
patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘sebab mutiara sebiji,
lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta
mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama dengan
kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan di negara kita mencapat
pendidikan bertaraf dunia.
Sumber : Modul Kertas 1 dan 2 PPMP Pasir Gudang 2020
No comments:
Post a Comment