SILA BUAT LATIHAN RUMUSAN DI DALAM KERTAS KAJANG
MASING-MASING SEMASA PERINTAH TAHANAN PERGERAKAN (PKP) CIVIC-19 PADA 23 HINGGA 24 MAC 2020
DISEDIAKAN OLEH YATIMAN BIN KAMSIDIN
RUMUSAN 30 markah
- SET 2
Baca petikan di
bawah kemudian buat rumusan tentang kesan-kesan pengambilan makanan segera dan
langkah-langkah mengatasinya. Panjang rumusan anda tidak lebih daripada
120 patah perkataan. (T5)
Apabila ada ura-ura cadangan pengharaman iklan makanan segera dalam
media massa sama ada media cetak atau media elektronik oleh Kementerian
Kesihatan, banyak pihak memberikan pandangan yang berbeza-beza. Pandangan
tersebut sudah tentu bersifat positif dan negatif. Kebanyakan pandangan negatif
adalah berkaitan dengan kesan negatif terhadap ekonomi sebagai suatu tindakan
yang boleh memalapkan ekonomi terutama dalam industri pengiklanan. Dalam hal
ini, golongan tersebut lupa bahawa tentang kerosakan dan komplikasi kesihatan
yang berlaku apabila terlalu banyak makan makanan segera. Adakah demi kelok
ekonomi, kita sanggup berkorban nyawa? Persoalan besar ini perlu direnungkan
dengan sikap berlapang dada dan berpandangan jauh.
Trend masyarakat masa kini
turut mendorong perkembangan drastik industri makanan segera. Masyarakat yang
terlalu sibuk sama ada kesibukan tugas atau kesibukan yang berpunca daripada
rentak kehidupan masyarakat moden mendorong mereka mencari jalan pintas dengan
mengambil makanan segera. Padah yang paling buruk daripada sikap tersebut
apabila sikap itu menjangkiti anak-anak pula. Jika beberapa dekad yang lalu, mi
segera menjadi pilihan makanan segera, kini terdapat ribuan jenama dikeluarkan
atas keperluan makanan segera. Selain kurang berkualiti dan kandungan zat
makanan yang tidak seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat sebagai
akibat kandungan garam dan bahan pengawet yang berlebihan.
Pada hari ini, perkara yang
membimbangkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, iaitu komplikasi
kegemukan atau obesiti. Statistik sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa 25
hingga 30 peratus kanak-kanak di Malaysia menghadapi masalah kegemukan. Bahaya
kegemukan telah menjadi suatu sindrom baru rakyat Malaysia yang dikatakan
berpunca daripada pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak
dan gula yang tinggi. Makanan tersebut terdiri daripada aiskrim, makanan yang
berasaskan marjerin dan minuman berkarbonat di dalam tin.Bahaya yang paling
serius daripada kegemukan ialah risiko peningkatan kolesterol dalam darah.
Komplikasi dan radang tiga serangkai iaitu darah tinggi, buah pinggang
dan sakit jantung sentiasa menjadi perbualan hangat penyakit moden masa kini.
Dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim melaporkan risiko remaja
menghadapi sakit jantung daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang
terdapat dalam makanan segera adalah amat tinggi. Otak yang cerdas berada
pada tubuh badan yang sihat. Kajian di Baycrest Centre di Universiti
Toronto, Kanada merumuskan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak
kerana lebihan lemak boleh menggangu peranan glukosa dan merosakkan daya
konsentrasi dan tahap ingatan. Makanan segera yang mengandungi kadar lemak dan
protein yang tinggi serta kandungan karbohidrat yang rendah merupakan imbangan
makanan yang tidak sesuai untuk perkembangan otak manusia.
Selain itu, pelbagai
komplikasi lain turut mengancam pengambilan makanan segera. Ancaman tersebut
ialah radang paru-paru yang boleh membawa kepada penyakit asma yang kronik.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pakar saintis dari Scotland dan Arab
Saudi dengan semua pengamal perubatan mendapati bahawa makanan ringan menjadi
punca meningkatnya penyakit alahan dalam kalangan kanak-kanak. Kajian yang
dilakukan terhadap 100 orang kanak-kanak yang mengambil makanan segera
menunjukkan bahawa mereka kurang mengambil makanan seperti buah-buahan,
sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu amat mudah menghadapi risiko
diserang asma yang berlarutan.
Inilah musibah apabila
masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum. Makanan
sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, malang sekali
apabila makanan turut membawa kesengsaraan kepada manusia.
No comments:
Post a Comment