Soalan :
Gejala sosial dalam kalangan remaja di negara kita menyumbang kepada masalah dalam masyarakat masa kini.
Bincangkan strategi-strategi untuk mengatasinya.
Dewasa kini, dunia semakin pantas berubah
dan berkembang pesat. Masyarakat alaf baru disegenap pelosok dunia sering sibuk
dengan tugas masing-masing. Namun begitu, rata-rata masyarakat di strata alam ini
tidak pernah leka dan tidak pernah alpa berhubung dengan gejala sosial dalam kalangan remaja walaupun pada
ketika ini, terdapat pelbagai cabaran yang bakal menghambat segenap lapisan
masyarakat. Namun begitu, masyarakat kini tidak naif dengan mata kebendaan yang
melalaikan malah hampir keseluruhan anggota masyarakat semakin cekal dan berani
untuk melangkah gah dengan seribu kekuatan, bersama-sama seia sekata dan bahu
membahu serta mengembleng tenaga bagi memastikan isu gejala sosial
dalam kalangan remaja tidak dipandang enteng. Persoalannya, apakah strategi
yang sesuai untuk mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja ini? Saya
akan mengupas satu persatu persoalan ini di dalam perenggan-perenggan
selanjutnya.
Kupasan saya yang pertama menyentuh tentang
gejala sosial yang melibatkan penagihan
dadah dalam kalangan remaja. Saban hari laporan berita di dada-dada akhbar utama sering
mendedahkan penagihan dadah melibatkan remaja. Antara punca yang menarik mereka
untuk terjebak dengan penagihan dadah adalah pengaruh dari rakan sebaya yang
suka ponteng sekolah. Rumah kosong adalah lokasi mereka untuk berkumpul dan merokok seterusnya menagih
dadah. Remaja yang terpengaruh dengan perlakuan negatif rakan sebaya, kebiasaan datang dari remaja
yang kurang mendapat perhatian dan bimbingan dari orang tuanya. Hal ini disebabkan rakan sebaya
telah menjadi mentor atau pakar rujuk kepada mereka. Penagihan dadah menimbulkan banyak masalah seperti membunuh,
meragut dan menyamun untuk mendapatkan wang membeli bekalan dadah. Cara mengatasi polemik ini
termasuklah ibu bapa perlu memberi kasih sayang, sentiasa mengambil tahu akan pergaulan dan
pergerakan anak-anak serta memupuk persefahaman dalam keluarga . Berkat ibu bapa menanam semangat kekeluarga dalam diri anak-anak dari awal bertepatan dengan peribahasa yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya memastikan masalah
penyalahgunaan dalam kalangan remaja dapat dikawal.
Keduanya, masalah sumbang mahram dan
pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Situasi ini berbangkit apabila remaja bukan muhrim bebas
untuk bersekedudukan dan tinggal dalam satu rumah tanpa pernikahan yang sah. Hal ini didorong
oleh perasaan cinta kepada pasangan, remaja berjauhan dengan keluarga kerana bekerja, status minah rempit atau situasi remaja yang tidak kuat pegangan agamanya. Akibatnya , ketelanjuran remaja membawa kepada
kes melahirkan anak luar nikah . Perasaan tertekan, panik kerana pasangannya lari atau tidak mahu bertanggungjawab, bayi yang masih bertali
pusat akan dihumban dari bangunan yang tinggi, dimasukkan ke dalam longkang dan
mangkuk tandas untuk menutup kesalahan mereka . Bagi mengatasinya isu ini
termasuklah ibu bapa perlu memberi didikan agama dan moral yang mantap . Pihak
berkuasa perlu melaksanakan tugasan diamanahkan dengan membuat serbuan dengan kerap . Di pihak masyarakat kena bersikap ambil tahu
akan status jiran baru yang tinggal di sebelah rumah . Jika masyarakat setempat
sentiasa peka pada persekitaran tempat tinggalnya pasti tiada kes pembuangan
bayi ditempat tinggal mereka berlaku..
Selain itu,
lari dari rumah juga menjadi
salah satu faktor yang mendorong berlakunya masalah sosial dalam kalangan
remaja di dalam negara. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend pada masa kini. Acap kali kita
mendengar berita di akhbar atau di corong-corong radio menyiarkan berita mengenai kes remaja berusia bawah 17 tahun lari dari rumah setiap hari. Terdapat banyak perkara yang mendorong remaja lari dari rumah.
Antaranya termasuklah remaja tidak suka menerima teguran daripada ibu bapa, rasa
berkecil hati dengan layanan keluarga, tidak menerima kewujudan ibu atau bapa tiri, mahu hidup bebas bersosial dan suka mengikut teman lelaki. Hal ini boleh ditangani oleh ibu bapa
dengan cara ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik dan memberi peluang kepada anak-anak untuk meluahkan
perasaan mereka. Ibu bapa juga perlu memupuk kasih sayang kepada ana-anak sejak
usia mereka masih kecil. Selain itu, pihak sekolah juga
menjadi institusi yang boleh memberi peneguhan pendidikan moral dan agama dalam
diri remaja disamping memberikan kaunseling jika dapat aduan dari masyarakat. Tuntasnya,
peranan ibu bapa dan sekolah boleh menyerap masalah remaja lari dari rumah.

Selanjutnya,
gangsterisme juga menjadi
salah satu eleman gejala sosial dalam kalangan remaja. Saban tahun ada
sahaja kumpulan gangster baru yang diwujudkan. Manakala kumpulan gangster yang
sedia akan sentiasa merekrut ahli baharu dalam kalangan pelajar sekolah. Remaja sekolah akan tertarik dengan kumpulan gangster
yang mempunyai kekuatan dari segi pengaruh, kewangan dan keahliannya. Penerimaan
keahlian remaja dalam kumpulan gangster yang kuat menjadi satu kebanggaan, kemegahan
dan merasa dirinya dilindungi. Kumpulan gangster yang ekstrim akan bertempur
dengan kumpulan gangster lain untuk bergaduh dan merebut kawasan. Apabila
berlaku pergaduhan banyak kerosakan , kematian dan kemusnahan harta awam .
Akhirnya penduduk sukar untuk menggunakan kemudahan awam dan negara mendapat
malu .Untuk menangani isu ini , pihak sekolah melalui unit disiplin perlu membuat
pencengahan awal dan membanteras perekrutannya dari awal melalui kempen dan ceramah
pencegahan jenayah di sekolah. Pihak polis perlu mengambil sekolah angkat dan
sentiasa membuat rondaan secara berkala di kawasan kejiranan yang dianggap
panas. Gabungan usaha pihak sekolah dan polis pasti membantutkan perkembangan kumpulan
gangster dalam masyarakat.

Lampu Aladdin tidak bersinar dengan sendirinya tetapi Aladdinlah yang menggosoknya terlebih dahulu. Bertitik tolak daripada perkara ini semua pihak perlu bahu membahu dan mengembleng tenaga untuk memastikan isu gejala sosial tidak dipandang enteng demi memastikan masyarakat maadani terus terpelihara dan sekaligus kita mampu membangunkan generasi yang berketrampilan , bersahsiah mulia dan berilmu. Justeru , bagi memastikan keadaan ini menjadi kenyataan maka komitmen dan pengertian serius semua pihak diperlukan untuk sama-sama kita membina impian masa depan yang lebih gemilang. Hal ini kerana, kita sebenarnya mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu seterusnya menampilkan wajah baru yang disulami tekad untuk memastikan impian kita membina masyarakat yang lebih berwawasan dan berdaya maju menjadi nyata.
(901 patah perkataan)
No comments:
Post a Comment