FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI GAYA HIDUP REMAJA
Mendepani
realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang pesat masyarakat alaf
baru sering sibuk dengan tugas masing-masing. Namun begitu, rata-rata
masyarakat di strata alam ini tidak
pernah leka dan tidak pernah alpa berhubung gaya hidup remaja masa kini. Gaya hidup remaja
merupakan isu yang sering diwar-warkan dalam media cetak dan media elektronik
di negara kita akhir-akhir ini. Malah isu ini turut mendapat tumpuan masyarakat
yang sering dibincangkan di
warung-warung kopi sehinggalah dibahaskan di Dewan Parlimen ada kebenarannya kerana
jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Sehubungan dengan itu, semua pihak
mestilah komited untuk mendepani dan mengatasi
isu ini kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya,
apakah factor-faktor yang mempengaruhi gaya hidup remaja? Saya akan
menghuraikannya satu persatu di dalam perenggan yang berikut.
Pada pendapat saya, faktor pertama yang mempengaruhi gaya hidup remaja
adalah keluarga. Keluarga mempunyai pengaruh yang besar kepada seseorang remaja. Sebenarnya alam
kehidupan remaja bermula dari sebuah
keluarga. hal Ini disebabkan ibubapa sahaja yang mampu mencorakkan anak-anak yang
diibaratkan seperti kain putih. Sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia akan
dapat membentuk anak-anak yang berperibadi mulia. Seterusnya melahirkan remaja bertanggungjawab,
bersopan dan saling menghormati satu sama lain. Manakala keluarga yang pincang
pula akan mempengaruhi remaja dari sudut negatif . Jika keluarga menunjukkan
contoh tingkah laku kasar anak-anak pasti mengikutinya bak kata pepatah "
bagaimana acuan, begitulah kuihnya". Jelaslah ibu bapa sebagai ketua
keluarga perlu menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak-anak sedari awal
agar anak-anak akan membesar dengan peribadi mulia.
Seterusnnya, faktor yang kedua mempengaruhi gaya hidup remaja adalah
masyarakat. Masyarakat merupakan satu
komuniti yang berada di sekeliling remaja terutama apabila remaja berada di
luar. Baik atau buruk remaja masa kini bergantung kepada budaya masyarakat
setempat. Norma positif masyarakat yang dipegang perlu diamal, didedah
dan diperkasakan. Pembentukan masyarakat positif dapat membentuk semangat perpaduan dan saling
menghormati. Paparan perlakuan masyarakat akan dilihat dan dipelajari oleh
remaja. Jika setiap ahli masyarakat saling bertolak-ansur dan menunjukkan sikap
toleransi,remaja akan meniru dan mengamalkannya. Jika sebaliknya, remaja
memerhatikan masyarakat sekelilingnya bersikap negatif, maka sikap negatif itulah yang akan menjadi amalan, seterusnya
mempengaruhi gaya hidup remaja itu dan kehidupannya. Jelaslah, bahawa
masyarakat yang positif atau negatif
bakal menentukan gaya hidup remaja di masa depan
Selain itu, faktor ketiga yang mempengaruhi gaya hidup remaja adalah
rakan sebaya. Rakan sebaya juga boleh mempengaruhi perkembangan gaya hidup remaja.Sudah menjadi lumrah
hidup manusia, berkawan adalah satu kemestian dalam kalangan remaja. Pemilihan
rakan penting terutama rakan yang boleh dipercayai. Matlamat berkawan adalah
untuk remaja berkongsi rahsia dan masalah terutama yang menghadapi masalah
keluarga. Walau bagaimana masalah yang timbul apabila mempunyai hubungan baik
dengan rakan, remaja selalunya terikut-ikut dengan tingkah laku rakan. Jika
rakan yang baik, peribadi remaja juga akan baik dan sebaliknya jika terpilih
rakan yang negatif, mereka akan membentuk peribadi yang negatif.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu bersikap sayangkan anak, tangan-tangankan
dan peka dengan perubahan pada anak-anak. Latar belakang rakan anak-anak perlu diselidik agar remaja kekal
mengamalkan gaya hidup positif.
Selanjutnya, faktor keempat
yang mempengaruhi gaya hidup remaja adalah pegangan agama. Agama
merupakan elemen utama dalam pembentukan gaya hidup seseorang remaja. Semua agama yang
terdapat dalam dunia membimbing
setiap orang ke jalan yang benar. Kekuatan pegangan terhadap agama juga dapat memandu seseorang insan pada
batasan kebenaran. Sehubungan itu remaja yang terdidik dengan asuhan agama yang
kukuh yang diturunkan oleh ibubapanya akan memperlihatkan gaya hidup yang murni
selaras dengan ajaran agama contohnya mempunyai sikap bertanggung jawab ke atas
diri sendiri akan dapat mengelakkan diri remaja daripada melanggar hukum-hukum
agama. Ketika ini, kita lihat banyak remaja yang runtuh akhlak dan peribadi
disebabkan mereka telah menyimpang jauh daripada ajaran agama masing-masing.
Disamping itu,
faktor kelima yang mempengaruhi
gaya hidup remaja ialah media massa. Media massa merupakan medium yang dapat
mempengaruhi khalayak ramai secara meluas samada berupa media cetak atau media
elektronik. Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini telah membuat pernyataan
menyelar rancangan realiti tv yang berunsur negatif dan pernyataan beliau
adalah sesuatu yang berasas. Pada zaman ini, media massa begitu berpengaruh dalam kehidupan remaja. Banyak gajet-gajet terkini
memudahkan segala maklumat dicapai dalam tempoh sesaat dengan menggunakan
hujung jari.. Beberapa kajian yang dijalankan mendapati bahawa purata masa menonton
tv dalam kalangan remaja negara ini ialah 40 jam satu minggu. Menonton tv dalam
masa yang begitu panjang sudah pasti mampu mendatangkan kesan kepada remaja
terutamanya tayangan filem-fimen berunsur kebaratan. Ramai remaja meniru
sesuatu yang kebaratan kerana kebanyakan rancangan yang ditonton remaja pada
masa ini lebih menonjolkan budaya yang negatif.
Kesimpulannya remaja
adalah aset penting negara. Semua pihak perlu usaha secara kolektif untuk membentuk remaja yang
positif. Remaja perlu mendapat pendedahan pelbagai perkara positif sedari usia
yang kecil bak kata pepatah "melentur buluh biar dari rebung". Ini
menjelaskan usaha yang betul hendaklah diberikan kepada mereka. Sudah pasti
budaya hidup yang positif membantu mereka dimasa hadapan. Sudah pasti suatu
hari mereka
akan dewasa sebagai pemuda dan pemudi harapan bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment