Format Penulisan --> Isi -->Contoh -->Kesan --> Ayat Penyimpul
Zaman modenisasi kini , kita menyaksikan keruntuhan akhlak
dan amalan nilai murni yang negatif dalam kalangan masyarakat berlaku secara
berleluasa. Hal ini disebabkan masyarakat terlalu
mengejar kebendaan dan keselesaan hidup hingga melupakan penerapan nilai-nilai
murni dalam diri anak-anak. Persoalannya,
bagaimanakah saya dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri? Saya akan mengupas cara-cara memupuk nilai-nilai murni
dalam diri di dalam perenggan-perenggan selanjutnya.
Langkah primer untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
diri ialah mempelajarinya melalui ajaran
agama dan moral yang secukupnya. Kebanyakan agama
di dalam dunia mengajar umatnya atau pengikutnya supaya melakukan amalan baik
seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, membantu orang yang susah dan
bersahsiah baik. Kesan ajaran agama yang
dipelajari mendorong saya untuk menjadi manusia yang baik, seorang yang
berprinsip, menghormati orang yang lebih tua, dan sentiasa membantu orang lain
dalam masyarakat. Jelaslah bahawa
mempelajari ajaran agama dan moral dapat membentuk diri berjiwa penyayang .
Seterusnya, nilai-nilai murni boleh saya perolehi di sekolah
yang diajarkan oleh guru. Antara subjek yang
mempunyai ilmu mendidik nilai-nilai murni dalam diri termasuklah subjek
Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Kesannya, nilai-nilai murni yang digilap melalui
pelajaran secara formal dapat membentuk diri saya yang sentiasa menghormati
kaum lain dari segi amalan agama, budaya, adat resam dan menjadi ahli masyarakat
yang hidup secara bertoleransi. Tuntasnya,
sekolah juga boleh menjadi agen kepada pemupukan nilai-nilai murni dalam diri.
Selanjutnya, memupuk nilai-nilai murni dalam diri boleh
dilakukan melalui pembelajaran tingkah laku yang positif dalam sesebuah
masyarakat. Antara nilai-nilai murni yang disemai
oleh masyarakat yang diterima ramai termasuklah nilai-nilai yang terkandung
dalam amalan adat resam, etika dan budaya kehidupan seperti amalan memberi
salam, membuka kasut sebelum masuk rumah dan menghormati tetamu seperti yang
terkandung dalam budaya Melayu. Kesan
mengamalkan nilai-nilai murni sesebuah komuniti saya dapat menjadi seorang yang
penyantun dan bersedia mempertahankan
tradisi budaya. Oleh itu, pembelajaran
tingkah laku positif dalam sesebuah masyarakat juga dapat memupuk nilai-nilai
murni dalam diri.
Akhir sekali, nilai-nilai murni dapat dipupuk melalui
penyertaan dalam program-program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Antara aktiviti yang disediakan termasuklah aktiviti mengenal
diri sendiri, membina kumpulan kerja, cara-cara menjadi pelajar cemerlang dan menjadi
seorang pemimpin. Kesan aktiviti yang
disertai oleh saya akan dapat memberi keyakinan yang tinggi dalam menguruskan
diri sendiri untuk menjadi seorang yang beriman, maju dalam pelajaran, sentiasa
berdisiplin melaksanakan tanggungjawab dan menjadi pemimpin contoh kepada rakan
lain di sekolah. Tuntasnya, program motivasi
adalah salah satu program yang dapat memberi sinergi kepada kepribadian yang
baik dalam diri saya.
Kesimpulannya, semua pihak
perlu berganding bahu melaksanakan tugas memupuk nilai-nilai murni dalam diri
anak-anak dan masyarakat bagi memastikan masyarakat yang harmonis dan bersatu
padu dapat dilahirkan. Seterusnya, keamanan negara yang dikecapi dapat membangunkan
negara dengan lebih pantas.
533 patah perkataan
533 patah perkataan
No comments:
Post a Comment