Sumber Soalan : Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Kelantan.& cikgusazali.blogspot.my
Sumber soalan : Pentaksiran Diagnostik Sekolah Berasrama Penuh 2016
Cadangan Jawapan Penuh
Formula -Isi --> contoh-->kesan -->penutup kecil
Zaman modenisasi memberi pelbagai cabaran
kepada setiap individu untuk merebut peluang
dalam pasaran kerjaya yang terbentang luas. Sudah pasti sesuatu kerjaya yang ditawarkan menjadi rebutan dan mendapat persaingan yang sengit. Oleh itu, setiap
individu perlu melengkapkan diri masing-masing seawal usia remaja membuat
persediaan untuk menempuh alam kerjaya pada masa hadapan. Persoalannya,
apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu? Saya akan
menghuraikan secara terperinci persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perenggan-perenggan selanjutnya.
Persediaan yang utama untuk menempuh
alam kerjaya adalah setiap individu perlu mendapatkan kelayakan akademik yang tertinggi. Antara kelayakan akademik yang
perlu diperolehi sekurang-kurangnya Kelulusan diploma hingga ke peringkat
master dalam bidang yang diminati selaras dengan kajian dan kehendak pasaran
kerjaya semasa. Hal ini disebabkan, memiliki
pengetahuan yang tinggi dalam sesuatu bidang memberi keyakinan diri. Kelayakan yang tinggi membolehkan
seseorang individu dapat menggunakan ilmunya memberi idea, cadangan, pandangan yang bernas dan menyelesaikan masalah berkaitan kerjaya yang akan disandang. Jelaslah, mendapatkan
kelayakan akademik yang tinggi disertai dengan pengetahuan kajian pasaran
kerjaya menjadi input utama untuk menempuh alam kerjaya.
Selanjutnya, setiap individu yang
telah mempunyai kelayakan akademik perlu mendapatkan pengalaman kerjaya sebanyak yang mungkin. Antara pengalaman kerjaya yang
boleh disertai pada awal usia remaja termasuklah pengalaman dalam perhubungan
dengan pelanggan, pengurusan dan pentadbiran perniagaan, bidang pemasaran,
pengurusan kewangan dan bidang logistik dalam mana-mana syarikat. Pengalaman
dalam bidang kerjaya yang tiada kaitan dengan kerjaya yang bakal disandang akan menjadi nilai tambah kepada kelayakan akademik yang dimiliki.
Selain itu, pengalaman yang dimiliki dapat mengurang kos pengurusan untuk
melatih pelatih baru yang diambil untuk bekerja. Sesungguhnya, pelatih yang memiliki
pengalaman kerjaya dan kelayakan akademik yang tinggi mengatasi tawaran skala gaji yang lebih tinggi dari pelatih yang hanya bersandarkan kepada
kelayakan akademik.
Seterusnya, setiap individu juga
perlu membuat persiapan mengasah kemahiran
berkomunikasi. Antara kemahiran berkomunikasi yang perlu dimiliki
termasuklah mempelajari kemahiran berucap, kemahiran mendengar, kemahiran
mempengaruhi orang lain, kemahiran menulis secara verbal dan bahasa tubuh melalui kelas-kelas yang dianjurkan pelbagai pihak. Kemahiran komunikasi membolehkan setiap
Individu mempunyai keupayaan untuk petah
berbicara, mampu mempengaruhi orang lain, menjadi seorang pendengar yang baik,
mampu melontarkan idea, berani dan berkeyakinan menghadapi kerenah
masyarakat. Memiliki pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi, sudah pasti dapat
memberi sinergi kepada produktiviti, tarikan dan sokongan dari semua arah dan menceriakan
organisasi. Tuntasnya, kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu kemahiran
insaniah yang perlu dikuasai oleh setiap individu ke alam kerjaya.
Disamping itu, setiap individu perlu
mempunyai ketahanan fizikal dan mental. Antara eleman ketahanan fizikal dan
mental termasuklah setiap individu mampu berdikari, berdisiplin dalam
melaksanakan tugasan, bijak membuat keputusan dan seorang yang proaktif yang boleh
dipelajari melalui kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh sekolah atau pihak
kolej. Kelebihan semangat berdikari mendorong setiap individu betah dan sentiasa memiliki keyakinan diri
yang tinggi dalam menyelesaikan segala cabaran yang mendatang. Berdisiplin dalam menjalankan tugas pula dapat memastikan
seseorang melaksanakan proses tugasan yang diamanahkan dengan penuh
bertanggungjawab. Manakala bijak membuat keputusan menjadikan individu seorang
pemikir yang matang, pintar dan berkeyakinan. Jelaslah, mempunyai ketahanan fizikal
dan mental adalah satu aset menuju ke alam kerjaya bagi setiap individu.
Setiap individu juga perlu menguasai pelbagai bahasa utama dunia. Antara bahasa utama yang perlu dikuasai termasuklah
bahasa Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Jerman. Hal ini disebabkan, bahasa
Inggeris menjadi bahasa perhubungan yang digunakan di seluruh dunia. Manakala bahasa
Jepun dan bahasa Jerman adalah bahasa yang digunakan dalam bidang teknologi. Menguasai
pelbagai bahasa membolehkan kita menambah pelbagai input ilmu melalui pengajian
dan bacaan buku-buku ilmiah berkaitan kerjaya pilihan kita. Selain itu, keupayaan
bertutur dalam pelbagai bahasa juga dapat meningkatkan keyakinan dalam diri dan
membuka peluang yang lebih luas kepada
setiap individu untuk merebut peluang kerjaya yang disediakan diseluruh dunia. Selanjutnya,
individu turut dapat mengeratkan
hubungan dan berkomunikasi yang baik dalam
organisasi yang dimiliki oleh penutur jati bahasa tertentu. Jelaslah, menguasai
pelbagai bahasa memberi impak yang besar kepada seseorang individu ke alam
kerjaya.
Kesimpulannya, untuk melorongkan diri
ke alam kerjaya yang menjadi idaman,
setiap individu perlu melakukan pelbagai persediaan yang lengkap dari segi
mental, fizikal dan kelayakan yang ditetapkan sesuatu tawaran kerjaya. Segala
persediaan boleh diperolehi melalui pengalaman, pengajian secara formal atau
tidak formal.
682 patah perkataan
Rujukan tambahan
No comments:
Post a Comment