Tuesday, February 24, 2015

Teknik Penulisan Perenggan Kesimpulan (BM Kertas 1)

Sumber : Skor SPM, Berita Harian 27 Februari 2015

Pengenalan:
 -Setiap karangan yang lengkap wajib diakhiri dengan perenggan kesimpulan.
-Berfungsi sebagai penutup bicara merumus idea-idea yang disampaikan dalam perenggan-perenggan isi.

Keperluan perenggan kesimpulan/penutup.
1. Membuat kesimpulan umum (jangan masukkan isi).
2. Menyatakan saranan.
3. Menyatakan harapan.
 4. Menyatakan pendirian.
5. Masukkan ungkapan menarik.
6. Ditulis dalam satu perenggan.

 Rajah : Peta minda kesimpulan/penutup

 Mengapa karangan anda tidak cemerlang?
 1. Tiada perenggan kesimpulan. 2. Perenggan kesimpulan terlalu ringkas, cuma ada sebaris atau dua baris ayat. 3. Menyenaraikan semua isi yang telah dibincangkan dalam perenggan isi. 4. Menulis perenggan kesimpulan terlalu panjang berbanding perenggan isi yang lain.

Contoh-contoh perenggan kesimpulan

Contoh Kesimpulan 1:  
Soalan : Huraikan ciri-ciri keluarga bahagia.

               Akhirkalam, sebagai manusia kitalah yang menentukan untuk hidup dalam keluarga yang saling lengkap-melengkapi, bantu -membantu dan hidup dengan penuh kerukunan ataupun sebaliknya. Oleh itu, kita sebagai ahli keluarga sayogianya bijak dalam sebarang tindakan supaya dapat memandu kita ke arah kebaikan. Dalam hal ini kita hendaklah memainkan peranan secara berhikmah demi kerukunan hidup berkeluarga, bukannya menjadi seperti duri dalam daging iaitu sentiasa mendatangkan masalah kepada keluarga kita. Jangan nanti sudah terhantuk bagu terngadah, kerana pada masa itu penyesalan kita terhadap kecuaian kita dalam bertindak sudah tidak berguna lagi. Kita juga perlu mempunyai perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi supaya dapat menyemai benih-benih kemesraan dan kasih sayang antara satu sama lain. Jadikanlah anggota keluarga kita sebagai permata yang tinggi nilainya supaya kita akan sanggup berkorban apa-apa sahaja untuknya pada bila-bila masa.

Contoh Kesimpulan 2:
Soalan:
Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak ternilai harganya. Sempena sambutan Hari Keluarga, anda diminta menyampaikan ceramah yang bertajuk "Cara-cara Menghargai Jasa Ibu Bapa".
Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

Tuan-tuan dan puan-pan yang dimuliakan,

Berdasarkan isi-isi ceramah yang sampaikan tadi, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa seseorang anak itu sayogianya menghargai jasa kedua-dua orang tua mereka. Anak-anak yang taat kepada ibu bapanya akan mewujudkan keluarga bahagia. Lantaran itu, sekali lagi saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan supaya jangan lupa daratan dan menjadi seperti Si Tanggang dengan mengutamakan kemewahan dunia daripada menjaga kebajikan ibu bapa kita. Insaflah akan setiap kesalahan yang telah kita lakukan terhadap kedua-dua ibu bapa kita, jangan biarkan air mata ibu bapa kita mengalir dek tingkah laku kita yang biadap terhadap mereka. Biarlah air mata mereka mengalir kerana menangis kegembiraan ekoran daripada sikap kita sebagai seorang anak yang soleh dan solehah. Saya rasa belum terlambat untuk kita bertaubat andai kita pernah menggores hati mereka kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Saya akhiri ceramah saya dengan serangkap pantun:

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Sekian, wabillah hi taufik walhidayah, wassalamualaikum warohmatullah hi wabarokatuh, terima kasih.

Info bahasa - kedua-dua ibu bapa, beratus-ratus orang dan berbanyak-banyak terima kasih ditulis begini mengikut hukum tatabahasa, kata bilangan tidak tentu mestilah digandakan.
-Menggores mengantikan perkataan mengguris menunjukkan perasaan terluka kerana tiada perkataan mengguris dalam bahasa Melayu.

Contoh kesimpulan 3:
Soalan :
Syarahan : Usaha-usaha untuk meningkatkan Semangat Gotong-royong dalam kalangan Masyarakat.

Cadangan susunan ayat untuk perenggan kesimpulan.

A1 - Ayat Rumusan/kesimpulan - 

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu untuk melaksanakan langkah-langkah yang telah dinyatakan tadi untuk memastikan aktiviti kemasyraakatan seperti gotong-royong ini berupaya menarik minat setiap golongan dalam kalangan masyarakat kita.

A2 - Ayat Cadangan -

Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dengan teratur dan bersungguh-sungguh supaya matlamat untuk melahirkan masyarakat prihatin dan hidup dalam suasana penuh harmoni dapat dilahirkan.

A3 - Ayat harapan/hasrat/ masukkan ungkapan menarik -

Saya berharap, masyarakat di negara kita menjadi masyarakat yang sentiasa mementingkan amalan murni dalam masyarakat dan memanfaatkan masa terluang mereka dengan melibatkan diri dalam program gotong-royong yang dianjurkan oleh masyarakat setempat. Harapan saya, suatu masa nanti masyarakat kita mampu dijadikan model masyarakat cemerlang. Masyarakat madani dan disegani di persada antarabangsa dek keakrabaan hubungan antara satu sama lain. Seandainya visi ini berjaya kita realisasikan, maka kita mampu meletakkan nama negara dalam kalangan negara yang terbilang dari segi ketinggian moral dan akhlaknya dan kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat negara-negara maju yang tersohor dari segi kemasyarakatan.

A4 - Ayat pendirian tentang keseluruhan isi karangan

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengorak langkah seiring sejalan menjayakan program yang dirancang dengan penuh swadaya.

Perenggan kesimpulan lengkap.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu untuk melaksanakan langkah-langkah yang telah dinyatakan tadi untuk memastikan aktiviti kemasyraakatan seperti gotong-royong ini berupaya menarik minat setiap golongan dalam kalangan masyarakat kita.Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dengan teratur dan bersungguh-sungguh supaya matlamat untuk melahirkan masyarakat prihatin dan hidup dalam suasana penuh harmoni dapat dilahirkan.Saya berharap, masyarakat di negara kita menjadi masyarakat yang sentiasa mementingkan amalan murni dalam masyarakat dan memanfaatkan masa terluang mereka dengan melibatkan diri dalam program gotong-royong yang dianjurkan oleh masyarakat setempat. Harapan saya, suatu masa nanti masyarakat kita mampu dijadikan model masyarakat cemerlang. Masyarakat madani dan disegani di persada antarabangsa dek keakrabaan hubungan antara satu sama lain. Seandainya visi ini berjaya kita realisasikan, maka kita mampu meletakkan nama negara dalam kalangan negara yang terbilang dari segi ketinggian moral dan akhlaknya dan kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat negara-negara maju yang tersohor dari segi kemasyarakatan.Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengorak langkah seiring sejalan menjayakan program yang dirancang dengan penuh swadaya.

No comments:

Post a Comment

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...