Wednesday, April 8, 2015

LANGKAH-LANGKAH MENERAPKAN NILAI MURNI DALAM KALANGAN REMAJA

Sumber : http://anelyza.blogspot.com/2014_08_01_archive.html


PENDAHULUAN
(T) Nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki  dalam masyarakat. Amalan ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, “Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”.  Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, amalan ini perlulah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh. 
(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari remaja kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. (M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. (B) Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk amalan nilai murni, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan. 
(L2): Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk amalan nilai murni ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan nilai bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ (K) Melalui program-program yang dijalankan ini, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua. (P) Pendek kata, amalan nilai murni sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.
(L3): Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang mengamalkan nilai-nilai murnil. (M) ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,’ begitulah peribahasa yang membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan yang kaya nilai murni. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya  agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini, hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan ‘baiti jannati’. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan bernilai murni yang akan mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan nilai dalam diri anak-anak.

(L4) Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang bernilai murni adalah melalui kempen yang berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang diadakan. (B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita mengamalkan nilai murni. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana hidup sehingga sanggup merendahkan tahap nilai murni kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu, kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat
menyemarakkan dan menyemai semula nilai-nilai murni ke dalam jiwa remaja serta meletakkan nilai murni sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. (P) Izharlah bahawa peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita.
Dari kaca mata yang berbeza pula, amalan nilai murni dalam kalangan remaja dapat dipupuk melalui aktiviti komuniti yang dianjurkan oleh masyarakat setempat. Masyarakat sekeliling mampu mempengaruhi tingkah laku para remaja yang dianggap separa matang dan belum keras ubun-ubunnya. Aktiviti komuniti seperti gotong-royong, kenduri-kendara dan rukun tetangga dapat dijayakan dengan penglibatan dan kerjasama daripada masyarakat setempat. Biar kita ambil contoh aktiviti gotong-royong. Aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk membersihkan kawasan kediaman bersama-sama tanpa mengira status, agama dan bangsa. Sikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak wujud ketika menjalankan aktiviti ini malah sikap bekerjasama bagai aur dengan tebing terpapar semasa aktiviti ini dijalankan. Kesannya, pelbagai nilai murni dapat diterapkan seperti nilai kerjsama, prihatin, tolong-menolong dan sebagainya. Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kebersihan kawasan kediaman juga akan terjamin dan sekali gus dapat menghindarkan penyakit berbahaya seperti demam denggi. Izharlah bahawa aktiviti kemasyarakatan yang diadakan mampu memupuk nilai-nilai murni dalam diri remaja kita.
PENUTUP
(K) Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa terdapat pelbagai langkah yang dapat diimplementasikan untuk memupuk amalan nilai murni dalam sanubari remaja kita. Amalan nilai murni amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia. ‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dan amalan nilai murni dalam kehidupan masyarakat kita. (C) Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak sahaja  untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.  Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. (H) Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian nilai murni rakyatnya.

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

        Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
 
        Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
 
        Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
 
        Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
 
        Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
 
        Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
 
        Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat
 

Tuesday, April 7, 2015

Kepentingan/Faedah/Kebaikan/Impak Industri Pelancongan Kepada Malaysia



Peta pelancongan dunia sudah membuka mata dan meletakkan nama Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Sejak tahun 1985 sehingga kini , Malaysia telah menjadi  buah mulut pelancong asing mahupun tempatan. Saban tahun kehadiran pelancong dari luar negara sentiasa bertambah. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan dan pihak swasta sentiasa giat mempromosikan Malaysia diseluruh dunia termasuk ke negara China, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah untuk merancakkan lagi perkembangannya. Usaha ini untuk memastikan pelancong mendapat info yang sebenar berkenaan produk dan kemudahan pelancongan yang disediakan secara lebih dekat. Antara produk pelancongan Malaysia termasuklah landskap bentuk muka bumi yang menarik, berbagai persembahan kesenian dan kebudayan yang unik, pelancongan sukan dan bangunan warisan sejarah peninggalan penjajah yang sentiasa terpelihara. Ini menjelaskan bahawa, usaha memperkembangkan industri pelancongan membawa banyak faedah kepada sesebuah negara.


Antaranya, Pelancongan dapat menyumbangkan pendapatan negara. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 29 juta pelancong dengan pendapatan RM89 billion pada tahun 2015 sempena penganjuran Tahun Festival (MyFest 2015). Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak.  Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Seterusnya, wang yang diperolehi oleh kerajaan dapat digunakan  untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara.

Selain itu, pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor tersebut. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan,  pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa sama , taraf hidup rakyat juga akan meningkat.

Seterusnya, pelancongan dapat memaparkan ketamadunan atau sejarah sesebuah negara yang memberi seribu satu makna. Warisan kebangsaan merupakan khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti A-Famosa, bangunan stesen keretapi Kuala Lumpur, dan Stadium Merdeka.  Pengekalan bahan-bahan tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong dari dalam atau luar negara untuk melihat sendiri tentang keunikan seni bina ciptaan  masyarakat terdahulu untuk dijadikan sumber inspirasi arkitek pada masa kini. Pelancong generasi muda juga dapat merasai semangat juang pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk tatapan semua.  Justeru, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang dalam mempertahankan negara. Oleh itu, pemeliharaan warisan negara membolehkan pelancong mempelajari dan mengenali sejarah asal-usul sesebuah negara dan penduduknya serta melahirkan generasi yang berjiwa patriotik,  cinta akan tanah air .

Selanjutnya, pelancongan turut menarik pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Kerajaan dapat mengelakkan pembaziran wang negara digunakan untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang menelan kos terlalu tinggi. Sebagai contohnya,  Pulau Langkawi yang dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Adalah lebih bermanfaat kos yang terlalu tinggi  disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang lebih mendesak dengan membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih tidak berumah. Jelaslah, kehadiran pelabur asing yang ramai dapat membantu kehidupan masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin.

Pelancongan juga dapat dijadikan agen perpaduan antarabangsa. Manusia di dunia ini disekat oleh sempadan politik. Dalam setiap negara pula mereka dikumpulkan mengikut bangsa, agama dan warisan etnik. Apabila ahli-ahli daripada satu kumpulan mengunjungi kumpulan-kumpulan yang lain, maka proses perpaduan akan wujud. Lama-kelamaan sempadan yang menyekat kumpulan-kumpulan tersebut akan hilang dan berkurangan. Selain itu, penganjuran pelancongan antarabangsa dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia  Tengah, China dan Eropah bagi memajukan pelancongan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu program pelancongan yang diadakan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.Melalui pendedahan ini akan wujudlah  kehidupan yang harmoni dalam kalangan manusia di dunia walaupun berlainan politik, bangsa dan agama.


 Kesimpulannya, pelancongan terbukti mendatangkan pelbagai faedah kepada pembangunan negara. Semua pihak perlu bahu-membahu bagi memastikan impian negara untuk menjadi destinasi pelancongan utama di dunia dan rantau ini terus subur. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa melipatkan gandakan usaha mempromosikan Malaysia secara kerap  agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, pelancongan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti “serampang dua mata”. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi destinasi pelancongan antarabangsa akan berterusan. jelaslah bahawa pelancongan adalah satu industri yang sangat penting untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

Sunday, April 5, 2015

Faedah melancong dalam negara

Kredit : http://stpm-study.blogspot.com

Kata orang, “Jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita mengenepikan destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk berdarmawisata? Oleh yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya jika kita sebagai warga Malaysia melancong dalam negara.

Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita telah mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan. Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum rakyat Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap seperti lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada rumput-rumput yang sedang diragut.

Di samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan  menawarkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion keluaran dalam negara kasar  (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi oleh banyak faktor seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya, pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik.

Jika kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke luar negara, kita memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian. Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya kita diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita. Deduksinya, jika hendak  melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar.

Tambahan pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Konklusinya, pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan. Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk memajukan industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan demi kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Langkah-langkah memajukan sektor pelancongan

 
http://stpm-study.blogspot.com

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat dan Negara

 http://stpm-study.blogspot.com

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
 

Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita.
 

Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.
 

Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.
 

Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
 

Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Kelebihan Malaysia Sebagai Destinasi Pelancongan

Kredit untuk : http://stpm-study.blogspot.com
Marcapada, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Statistik yang ditunjukkan menunjukkan bahawa negara kita semakin mendapat tempat dalam kalangan warga asing untuk dilawati. Persoalannya, apakah keistimewaan Malaysia yang menyebabkan pelancong asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka?

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memiliki pelbagai tempat yang menarik yang mampu menggamit kedatangan pelancong asing. Kita berasa bertuah kerana bumi tercinta ini memiliki pantai yang memutih dan indah dengan udaranya yang nyaman seperti Pantai Chenang di Langkawi, Pantai Teluk Chempedak di Pahang dan Pantai Karambunai di Sabah. Bagi pencinta hidupan marin, maka sudah pasti mereka boleh memilih destinasi selaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara yang tercantik di dunia seperti Pulau Sipadan di Sabah dan Pulau Perhentian di Terengganu. Selanjutnya, untuk para pencinta alam semula jadi, Malaysia mempunyai hutan rimba yang berusia jutaan tahun, tamsilannya Hutan Belum di Perak, Mensilau-Basin di Sabah dan Hutan Endau-Rompin di Pahang. Sementelahan, Bandar raya Bersejarah Melaka dan Georgetown yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjanjikan keterujaan kepada para pelancong yang menyukai tempat-tempat bersejarah dan kehalusan estetika dalam seni bina silam. Pendek kata, “macam-macam ada di Malaysia!”

Keistimewaan Malaysia yang seterusnya ialah masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kamu dan latar belakang mewujudkan pelbagai budaya yang mewakili setiap kaum dari seluruh Asia. Fenomena inilah yang menyebabkan Kementerian Pelancongan telah memilih slogan “Malaysia Truly Asia” atau “Malaysia ialah Asia” sebagai slogan untuk Kempen Pelancongan. Suatu perkara yang tidak dapat disangkal ialah warna-warni kebudayaan rakyat Malaysia dari segi sambutan hari-hari perayaan, pakaian, makanan, kesenian dan pertuturan sudah pasti memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong, contohnya sambutan Citrawarna Malaysia dan “Malaysian Kitchen” memberi ruang untuk para pelancong memahami kebudayaan rakyat Malaysia. Tegasnya, para pelancong asing hanya perlu ke Malaysia jika mahu mengenali kebudayaan masyarakat di Asia.

Selain itu, salah satu daya tarikan yang ada di Malaysia ialah kemudahan infrastruktur yang kondusif untuk para pelancong seperti sistem pengangkutan dan tempat penginapan. Bagi memudahkan para pelancong dari luar, syarikat penerbangan nasional, iaitu Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia bersedia untuk membawa pelancong dari serata dunia ke destinasi pelancongan di Malaysia.  Di samping itu, jaringan lebuh raya dan rel seperti sistem transit aliran ringan (LRT), komuter, dan monorel menyenangkan mobiliti para pelancong. Manakala, dari segi tempat penginapan terdapat pelbagai kategori berdasarkan bajet masing-masing tersedia, daripada hotel bertaraf lima bintang, motel, inap desa hinggalah asrama yang berkos rendah. Intihanya, kemudahan prasarana yang berkualiti telah memastikan para pelancong selesa berada di negara kita.

Satu lagi elemen yang tidak kurang penting ialah sikap rakyat Malaysia yang ramah dan berbudi bahasa. Keramahan warga tempatan menyebabkan warga asing berasa bahawa kehadiran mereka sangat dialu-alukan di negara ini. Malah, para pelancong juga berasa selamat ketika melancong di sini disebabkan mereka mudah untuk mendapatkan bantuan jika menghadapi sebarang masalah. Sikap rakyat Malaysia itu menyebabkan pelancong asing terdorong untuk berkunjung berkali-kali ke Malaysia. Izharlah bahawa,  mahajana ibarat duta kecil yang berperanan untuk menjaga imej negara di mata para pelancong.

Kesimpulannya, Malaysia berpotensi untuk menjadi destinasi wajib kepada warga asing yang mahu berdarmawisata. Oleh yang demikian, kerjasama antara semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta dan orang ramai harus diperkukuh demi kelangsungan industri pelancongan di negara ini kerana jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Tuntasnya, kita berharap kedatangan pelancong asing ke negara kita akan bertambah tahun demi tahun sejajar dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi menarik mereka untuk berkunjung ke sini.

Pantun Keselamatan jalsn raya by Tok Yat

 Sultan Mahmud jalan bertandu Di tengah jalan minum nestum Tiada hormat sesama pemandu Jadi punca kereta berdentum. Arnab lari masuk  Hilang...